Cadang perkhidmatan bas untuk menteri, lebih baik utamakan pelajar sekolah


  • Primer
  • Sabtu, 04 Feb 2023

Anthony Loke Siew Fook sebelum ini mengemukakan cadangan mengenai pengangkutan bas buat Ahli Parlimen. — Bernama

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini mengemukakan cadangan mengenai penyediaan perkhidmatan bas perantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen untuk Ahli Parlimen serta warga kerjanya.

Perkara itu bertujuan bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam dalam kalangan menteri, sekali gus mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas di jalan raya.

Menerusi laporan media, beliau sangat berharap agar ia dapat dilaksanakan dan sudah nyatakan hasrat kepada Speaker Dewan Rakyat dengan beliau secara tidak rasmi bersetuju dengan cadangan tersebut.

Cuma pada masa sama, cadangan tersebut nyata menerima pelbagai spekulasi serta persoalan dalam kalangan warganet di Facebook yang dilihat seperti kurang bersetuju dengan perkara itu.

Ada pihak berpendapat, keistimewaan itu tidak sepatutnya dimiliki oleh barisan kementerian memandangkan kebanyakan mereka sudah mempunyai elaun dan pengangkutan tersendiri.

Sebaliknya, tumpuan rakyat ketika ini dilihat lebih tertumpu kepada bantuan persekolahan pelajar yang dikatakan lebih memerlukan perkhidmatan bas sekolah percuma khususnya bagi golongan kurang berkemampuan.

Terbaharu, Kementerian Pengangkutan telah pun melaksanakan perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) percuma bagi pelajar berpakaian seragam sekolah berusia hingga 12 tahun dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Susulan perkara itu, orang ramai mendesak agar keistimewaan sama juga diberikan kepada pelajar sekolah yang menaiki bas.

Ahmad Nazuri Aiman berpendapat, cadangan berkaitan kemudahan bas untuk Ahli Parlimen tidak perlu dilaksanakan kerana pelajar sekolah lebih memerlukan.

"Cadangan yang kurang berkesan, menteri semuanya dah ada elaun dan pengangkutan sendiri, pelajar sekolah lebih perlu diberi perhatian kerana masih ramai yang tidak berkemampuan dan ibu bapa juga terpaksa menghantar anak bergilir-gilir dengan motosikal," katanya.

"Bagi bas percuma kepada pelajar sekolah secara bersasar ataupun berjadual, macam contoh lima hari pada setiap hujung bulan, kadang-kala ada ibu bapa yang tak mampu nak bayar upah bas sekolah bila dah hujung bulan," ujar Mohd Shahril Mazuki.

"Bas percuma elaun kereta pun menteri dah ada rasanya, jadi tak perlu la nak ditambah dengan kemudahan bas percuma pula, kalau betul nak elak kesesakan lalu lintas biarlah berlaku adil dengan rakyat juga," tambah Shukur Ismail.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan setiap daripada gaji Jemaah Menteri akan dipotong sebanyak 20 peratus pada setiap bulan.

Perkara itu diputuskan selepas mengambil kira semangat keprihatinan barisan Jemaah Menteri terhadap masalah dihadapi rakyat ketika ini dan pemotongan gaji itu akan dibuat sehingga ekonomi negara pulih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram