LIGA domestik musim ini yang bakal membuka tirai 24 Februari depan bakal menyaksikan kelab-kelab di Liga Malaysia muncul dengan penampilan baharu.
Ini termasuk pengenalan jersi baharu bagi perlawanan di laman sendiri (home) dan jersi perlawanan di tempat lawan (away) pada Liga Malaysia (Liga M) 2023.
Setakat ini, Penang FC, Perak FC dan Selangor FC yang sudah mengumumkan jersi rasmi masing-masing.
Kelab-kelab lain pula beraksi dengan jersi pramusim dan belum mengumumkan sama ada jersi tersebut bakal menjadi jersi rasmi pasukan atau tidak.
Jersi Penang FC bagi musim 2023.
Di negara seberang, kelab-kelab Indonesia juga memperkenalkan jersi masing-masing dan antara yang mendapat perhatian ialah jersi kelab PSIS Semarang.
Jersi rekaan Riors berwarna biru itu menampilkan corak naga di bahagian depan yang mengambil inspirasi daripada kelab Mahesa Jenar Warrior itu.
"Menampilkan warna yang sinonim dengan Semarang City dan diinspirasikan daripada Warak Ngendog (Naga Warak)," tulis laman Twitter @riors_id.
Rekaan jersi yang menarik itu mendapat lebih 100 retweet pada Isnin malah turut mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan.
Malah ada beberapa penyokong kelab Liga M yang membayangkan jersi berkenaan akan nampak menarik jika corak naga itu diganti dengan corak harimau yang sinonim dengan kelab Johor Darul Takzim (JDT).
Jersi pramusim Terengganu FC kerana dikatakan menciplak rekaan jersi terburuk AC Milan.
Tambahan pula warna biru juga adalah warna rasmi kelab elit di selatan tanah air itu.
Selain menjadi idaman segelintir penyokong JDT, jersi trending itu juga menjadi 'rebutan' penyokong Sabah FC dan Penang FC yang turut berasakan warna berkenaan sesuai dengan warna kelab mereka.
Penang FC dan Sabah FC juga menggunakan warna biru iaitu biru cair yang diinspirasikan daripada bendera negeri masing-masing.
Pada masa sama, ada yang mengusik andai Terengganu FC berminat dengan jersi tersebut kerana jersi pramusim kelab Sang Penyu dikatakan meniru rekaan corak jersi terburuk AC Milan musim 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram