Kes lebih RM100,000 lesap bikin media sosial 'panas', ramai desak guru besar cuai bayar balik wang bantuan sekolah


Wang bantuan awal persekolahan bernilai RM109,000 yang dibawa oleh seorang guru besar disamun pada Isnin. — Gambar hiasan/ Getty Images

NEGARA pada Isnin gempar apabila wang tunai bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000, yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang dilarikan penjenayah.

Wang yang dikeluarkan oleh guru besar sekolah berkenaan di pekan Semenyih pada pukul 10 pagi itu, sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa.

Dia dilapor meletakkan wang tersebut di bawah kerusi penumpang hadapan, sebelum menuju ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman.

Difahamkan, selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, guru itu mendapati cermin kereta berkenaan dipecahkan di bahagian kanan kerusi penumpang belakang, dengan beg berisi wang tunai itu hilang.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dilihat tidak berpuas hati dengan kecuaian guru itu ketika diamanahkan untuk menjaga wang tersebut.

template - 2023-01-17T133802.246

Tangkap layar komen netizen berhubung kecuaian guru terbabit.

Azila Mohd Kasim menulis: "Kenapa cuai? Singgah sana sini? Letak beg berisi duit atas tempat duduk penumpang depan? Dah bawa duit amanah tu patut terus balik. Habis tu esok macam mana? Ibu bapa dapat bayaran ke? Kasihanlah."

Safura Kassim berkata: "Orang bawa duit banyak, mana ada singgah merata. Terus ke destinasi. Dahlah bukan duit sendiri. Kalau duit sendiri lain cerita."

template - 2023-01-17T133548.734

Tangkap layar komen netizen meminta guru berkenaan membayar semula wang yang disamun.

Sementara itu, ada yang menggesa guru terbabit supaya mengganti semula wang yang diamanahkan untuk rakyat tersebut.

Ini seterusnya dapat memberi pengajaran kepadanya agar kejadian sama tidak berulang.

Elias Jet Lias berkata: "Isu keselamatan diambil mudah. Tak ikut SOP (prosedur operasi standard) minta dia bayar balik duit rakyat. Kasihan ibu bapa yang mengharap duit bantuan itu. "

Tulis Azzammin Ismail: "Harap-harap guru besar tersebut bertanggungjawab ke atas kehilangan duit tersebut, kita tak mahu membuat andaian yang bukan-bukan namun yang pasti ini satu kecuaian. Kasihan kepada pelajar-pelajar dan murid-murid jika tidak menerima bantuan tersebut."

Nurha Muhammad menambah: "Guru besar sila ganti balik duit tu ye. Orang bawa duit banyak-banyak tak ada nak menyinggah minum kopi dulu. Sudahlah letak dekat tempat duduk sebelah cermin, helok punya parking. Kalau bijak sikit letaklah kat dalam bonet. Maaf, tak mampu nak bersangka baik dah."

Tiada pengiring

template - 2023-01-17T133426.092

Tangkap layar komen netizen berhubung kes samun pada Isnin.

Pada masa sama, ada yang mempertikaikan kewajaran guru terbabit mengeluarkan wang tunai dalam jumlah banyak secara seorang diri.

Ain Ray FS berkata, selalunya jika wang dikeluarkan lebih daripada RM10,000, seseorang itu perlu membawa peneman yang dipercayai dan mengikut prosedur tertentu.

"Kena masuk dalam bilik pengurus bank, tandatangan borang, kira duit melalui mesin duit depan kita, lepas dapat duitnya bila nak keluar, mesti ada guard yang akan iringi kita ke kereta sebab risau berlaku benda yang tak diingini.

"Bahaya bawa duit banyak-banyak kot orang memerhati pergerakan kita. Kita disarankan jangan singgah atau berhenti di mana-mana tempat dan terus ke destinasi untuk elakkan kes rompakan. Ini macam kes something fishy yang melibatkan pengetua je. Semoga dipermudahkan segala urusan." katanya.

template - 2023-01-17T132801.021

Tangkap layar komen netizen berhubung tindakan guru terbabit, yang tidak membawa pengiring ketika mengeluarkan wang bantuan tersebut.

Berpendapat sama, Noraidah Ismail berkata, guru berkenaan sepatutnya mengeluarkan wang berkenaan bersama pengiring seperti guru pembantu atau pihak berkuasa.

"Sekurang-kurangnya bila turun beli ABC atau ais kacang, ada orang menunggu dalam kereta. Atau terbaik tak payah singgah beli ais kacang dan tinggalkan beg sebegitu. Boleh order ais dengan Grab atau FoodPanda dari sekolah.

"Bila bawa cash yang banyak jangan senang-senang letak atas tempat duduk penumpang. Soroklah sikit dalam bonet ke. Common sense, cikgu."

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hasaan dilapor berkata, guru berkenaan memberi alasan sudah biasa mengambil wang bantuan awal persekolahan tanpa pengiring daripada pihak polis.

Beliau berkata, pihaknya tidak mendapat permohonan pengiring daripada guru besar berusia 50 tahun berkenaan untuk tujuan pengeluaran wang itu pada Isnin.

"Berdasarkan keterangan guru besar berkenaan, dia tidak buat permohonan pengiring polis untuk transaksi pengeluaran wang berkenaan kerana sudah berpengalaman 10 tahun dalam mengendalikan situasi itu.

"Menurutnya, sepanjang tempoh 10 tahun berkenaan, tidak pernah berlaku perkara sedemikian. Perkara ini menyebabkan saya merasa ralat kerana pihak sekolah boleh meminta bantuan polis untuk mengiringi mereka selepas membuat pengeluaran wang di bank," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram