Kes bergaduh waktu rehat, polis tahan 4 pelajar di Kajang


  • 112
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Ketua Polis Kajang, ACP Mohd Zaid.

HANYA disebabkan perselishan faham ketika membeli minuman semasa waktu rehat, dua pelajar sebuah sekolah menengah di Kajang, Selangor terlibat dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan kecederaan.

Insiden yang berlaku pada Jumaat itu disusuli dengan penahanan empat remaja lelaki berumur lingkungan 15 hingga 16 tahun pada kira-kira jam 9 malam hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, polis juga sudah mengesan kejadian ini tular dalam media sosial dan pergaduhan itu berlaku di dua lokasi berlainan berhampiran sebuah sekolah.

Katanya, polis menerima laporan kes berkenaan pada Jumaat daripada seorang pelajar berusia 16 tahun menyatakan dirinya bersama seorang lagi rakannya dipukul sekumpulan pelajar sekolah.

"Punca kejadian disebabkan rentetan perselisihan faham di dalam sekolah (pada Rabu lepas) apabila pengadu salah faham dengan rakan suspek kerana disyaki melemparkan duit semasa membeli minuman di kantin pada waktu rehat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Zaid berkata, perselisihan faham itu berlarutan apabila kedua-dua pihak bertumbuk akibat tidak berpuas hati dan suspek bertindak meminta bantuan daripada rakan-rakan sekolah lain untuk membalas dendam terhadap mangsa.

"Pemeriksaan ke atas pengadu dan mangsa mendapati kedua-duanya mengalami kecederaan ringan di muka dan badan. Kesemua tangkapan merupakan remaja bawah umur yang bersekolah di sekolah yang sama dengan pengadu.

"Polis akan memohon reman kesemua suspek di Mahkamah Bandar Baru Bangi hari ini (Sabtu). Pihak polis juga masih mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, Sekolah, Kajang, Budak, Remaja, Pelajar, Gaduh, Cedera, Tumbuk