KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sedang rancak dijalankan di setiap kawasan seluruh negara ketika ini.
Bendera setiap parti, sepanduk serta gegantung calon yang bakal bertanding juga digantung di hampir setiap tempat.
Selain memeriahkan suasana PRU15, aktiviti itu dilakukan bagi meraih undi penduduk di setiap kawasan yang bertanding.
Namun, semua itu tidak cukup sekiranya calon yang bertanding di sesuatu kawasan tidak hadir bersua muka menemui penduduk.
Suasana di Taman Pandan Mewah ketika tinjauan Majoriti.
Berdasarkan tinjauan Majoriti, seorang penduduk di Taman Pandan Mewah, dekat Ampang, Selangor berasa hampa apabila terdapat calon yang bertanding di Parlimen Ampang tidak bertemu penduduk, meskipun bendera parti yang diwakilinya tergantung di kawasan itu.
Mohd Azhar (bukan nama sebenar) berkata, dia mengakui bahawa dia menyokong salah satu daripada parti terbabit dan masih ternanti-nanti kehadiran calon tersebut.
"Selepas hari penamaan calon Sabtu lalu, saya teruja apabila dia dicalonkan di kawasan ini, tetapi sampai hari ini saya tak nampak batang hidungnya berjumpa penduduk.
"Macam mana nak undi dia kalau macam ini caranya. Ini baru kempen, kalau dah menang macam manalah agaknya?" katanya kepada Majoriti.
Muzamil
Sementara itu, Muzamil Hafiz, 37, berkata, dia juga menantikan kehadiran calon yang bakal diundinya di kawasan itu, namun sehingga kini mukanya tidak juga muncul di khalayak ramai.
Katanya, perkara itu membuatkan dia sedar bahawa kebanyakan parti yang wujud di negara ini tidak mempunyai apa-apa keistimewaan untuk dibanggakan.
"Tetapi, saya masih akan turun mengundi. Cuma, apa yang saya kesalkan sekarang adalah kalau calon bagus tapi pemimpin akar umbi sesebuah parti tak bagus pun tak guna juga," katanya.
Papan tanda kawasan Ampang Mewah.
Ketika ditanya tentang harapannya ketika kerajaan baharu ditubuh kelak, pekerja swasta itu hanya menginginkan peluang pekerjaan dibuka lebih luas buat golongan penganggur.
"Kalau kos sara hidup di sesuatu tempat tinggi, tapi pekerjaan tiada dan gaji pula rendah pun susah kan?" soalnya.
Harapan kepada pemimpin baharu
Syafiq
Pada masa sama, seorang pelajar di sebuah universiti awam berkata, dia tidak kisah sama ada calon yang diketengahkan di kawasan itu berusia muda mahupun tua.
Sebaliknya, Syafiq Habib, 23, berkata, seseorang pemimpin perlulah menunaikan tanggunggjawab yang diamanahkan oleh rakyat.
"Sebab rakyat akan susah kalau apa yang diadukan tidak diselesaikan oleh pemimpin itu. Ini kerana pemimpin yang akan bawa suara kita," ujarnya.
Selain itu, seorang suri rumah, Salamah Mat Nayan berkata, setakat ini tiada apa-apa masalah yang dihadapi di kawasan itu.
Salamah
Salamah, 62, berkata, penduduk di kawasan itu pernah menerima bantuan keperluan asas daripada Ahli Parlimen kawasan tersebut ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya akan undi calon yang terbaik tidak kira daripada mana-mana kaum sekali pun.
"Calon yang bertanding itu perlulah amanah dan banyak membantu rakyat bukan hanya ketika berkempen pilihan raya," katanya.
Sitah
Seorang peniaga, K. Sitah berkata, dia berharap agar pemimpin baharu di kawasan Parlimen Ampang merupakan seorang yang menepati janji yang ditaburkan.
Sitah, 46, berkata, calon yang bertanding pada pilihan raya haruslah sering tampil membantu menyelesaikan masalah rakyat.
"Saya sudah tinggal di sini selama 20 tahun. Sejak suami saya meninggal dunia, tiada siapa yang boleh membantu menanggung kehidupan saya sekeluarga.
"Sebelum ini, ada juga kerajaan membantu dan saya juga hanya mengharapkan duit pencen suami.
"Saya juga berharap pemimpin baharu akan lebih memberi perhatian kepada ibu tunggal macam saya," katanya yang menyara hidup seramai lima orang anak.
Kerusi Parlimen Ampang yang disandang Datuk Zuraida Kamaruddin sejak 2008 menyaksikan persaingan sengit dengan pertembungan sembilan penjuru pada PRU15.
Pada kali ini, Zuraida mempertahankan kerusi disandangnya itu atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Zuraida dicabar Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN), selain Rodziah Ismail (PH), Sasha Lyna Abdul Latif (PN) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang).
Turut bertanding, Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram