'Merekalah yang dayus kerana bercakap tanpa ilmu'


  • Mukmin
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Majoriti umat Islam tiada pilihan melainkan bersalin di hospital kerajaan, yang mana kos lebih rendah. — Gambar hiasan/ Agensi

BARU-BARU ini, tular sebuah video tentang seorang pendakwah wanita meluahkan rasa kurang senang, selain lantang bersuara kerana para ibu bersalin dibiarkan mendedahkan aurat kepada lelaki bukan suami mereka.

Kata pendakwah tersebut, lelaki tersebut adalah 'dayus' sekiranya mereka membiarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi tersebut.

Pendakwah itu berkata sedemikian kerana para suami dilihat tidak cemburu membiarkan doktor lelaki melihat kemaluan isteri mereka.

Adakah pandangan ini benar?

template (87)

Tangkap layar video tular pendakwah wanita memberi pandangan kepada suami yang membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi.

Dua perkara perlu diperhalusi bagi menjawab isu ini.

Pertama, seorang lelaki haram melihat aurat perempuan manakala perempuan haram melihat aurat lelaki.

Seorang suami dikira dayus sekiranya membenarkan lelaki lain melihat aurat isterinya, selain membenarkan dan redha isterinya mendedahkan aurat.

Contohnya, isteri memuatnaik gambar mendedahkan aurat di media sosial dan si suami redha, maka di sinilah hukum dayus terpakai.

Namun di dalam fiqah, hukum hakam berubah berdasarkan keadaan darurat.

Darurat di sini bererti boleh berlaku mudarat seperti kesakitan, kematian, dan lain-lain.

Contoh biasa adalah dibenarkan makan khinzir ketika tiada makanan halal pada kadar yang sesuai.

Di dalam perihal bersalin, daruratnya adalah nyawa serta kesihatan ibu dan bayi yang perlu dijaga.

Perlu juga difahami bahawa, haram hukumnya mendedahkan diri kepada mudarat di dalam keadaan wujudnya cara bagi mengelakkan mudarat berdasarkan kaedah 'Sadd Zari’ah'.

image6

Duit tambahan perlu disediakan sekiranya anak yang lahir memerlukan bantuan atau rawatan tambahan. — Gambar hiasan/Agensi

Maka, sekiranya keadaan bertarung nyawa ibu dan anak dalam proses bersalin tidak dilakukan dengan sebaik usaha, maka hukumnya berdosa, sama ada doa kejahilan yang lebih ringan ataupun dosa memudaratkan dalam keadaan memahami hukum darurat di atas.

Di dalam Islam, kematian anak kecil atas kejahilan ibu bapa mempunyai dosa dan hukum tersendiri.

Isu seterusnya dikatakan dayus kerana tidak mengumpul duit untuk isteri bersalin di hospital swasta.

Perlu difahami, pemilihan doktor lelaki dalam keadaan ketidakmampuan memilih doktor perempuan adalah dibenarkan.

Screenshot 2022-11-10 232956

Kos bersalin sekitar RM4,000 hingga RM12,000 tidak dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi

Namun, sekiranya seseorang itu berduit dan mampu membayar doktor perempuan, maka ia adalah pilihan lebih baik.

Perlu disedari bahawa pilihan secara tetap doktor perempuan kebiasaanya hanya ada di hospital swasta dengan bayaran yang agak tinggi.

Kemampuan untuk menyimpan bagi kos bersalin sekitar RM4,000 hingga RM12,000 tidaklah dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Apatah lagi, duit tambahan perlu disediakan sekiranya anak yang lahir memerlukan bantuan atau rawatan tambahan.

Ini belum dikira kos penjagaan ketika berpantang dan kos anak selepas bersalin. Kos taska rata-rata RM400 hingga RM500 sebulan.

Pengalaman sendiri melibatkan anak keenam yang ditahan di wad rawatan bayi di hospital swasta, kos rawatan ibu dan anak mencecah lima angka.

Dengan semua kos yang ada, majoriti umat Islam tiada pilihan melainkan bersalin di hospital kerajaan, yang mana kos lebih rendah.

Namun, kebiasaannya pemilihan doktor di hospital kerajaan adalah berdasarkan kelapangan dan mengambil kira kesibukan institut kesihatan itu.

Malah, hospital kerajaan juga memainkan peranan penting dalam melatih doktor-doktor baru, menuntut supaya doktor lelaki pelatih mempelajari ilmu 'OnG', yang turut dibenarkan di dalam Islam.

Berkongsi pengalaman sendiri, seramai tiga orang anak yang bersalin di hospital kerajaan menunjukkan keadaan yang berlaku sebenar-benar darurat berdasarkan kadar yang perlu sahaja.

Aurat hanya dibuka dalam keadaan keperluan manakala tempoh pemeriksaan sehingga selesai bersalin yang memerlukan membuka aurat tidak sampai setengah jam bagi keadaan normal.

Sementara itu, hanya sejam lebih diperlukan bagi pembedahan, yang mana dalam keadaan hanya bahagian yang perlu sahaja dibuka.

Malah, keterlibatan doktor lelaki adalah minimum manakala bidan (jururawat perempuan bertauliah) akan menguruskan isteri dalam keadaan tampak aurat dengan lebih lama (melibatkan pembersihan dan rawatan).

Keadaan ini bertepatan dengan kaedah syarak, yang membenarkan darurat pada kadar yang diperlukan sahaja tanpa berlebihan.

Sebagai penutup, kepada mereka yang menuduh suami dayus membenarkan doktor lelaki menyambut kelahiran, hakikatnya merekalah yang dayus kerana mengambil risiko yang tidak sepatutnya tanpa ilmu.

Namun, sekiranya mereka jujur dengan tuntutan mereka, maka sepatutnya mereka memberikan fokus yang lebih kepada meramaikan doktor perempuan, tetapi apakan daya memberi komen semberono lebih mudah berbanding melakukan perkara yang betul. — Majoriti

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian

Ketua Sekretariat Penulisan Ulum Syarak, (Pemikir)

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram