BANK Negara dijangka meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada Januari tahun depan.
Perkara itu nyata merisaukan rakyat kerana tahun ini sahaja, sudah empat kali OPR dinaikkan.
Perunding kewangan, Afyan Mat Rawi menerusi akaun Facebook miliknya berkata, teori menaikkan OPR untuk mengekang inflasi ada sedikit canggung buat masa sekarang.
"Mungkin awal-awal selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu sesuai kerana rakyat ada lebihan wang selepas setahun tidak bergerak dan bekerja di rumah
"Tambahan pula lebihan daripada moratorium. Juga wang tambahan daripada kerajaan menerusi bantuan khas kerajaan melalui i-Sinar, i-Citra dan sebagainya daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Teori OPR dinaikkan untuk membendung rakyat berbelanja mungkin praktikal pada hujung 2021 dan awal 2022," katanya.
Kini katanya, rakyat kembali bekerja seperti biasa dan kos pengangkutan kembali kepada asal. Rakyat perlu bayar ansuran macam biasa tanpa moratorium. Tiada lagi bantuan khas KWSP.
"Jadi, tanpa dinaikkan OPR pun rakyat memang akan kurang berbelanja kerana duit mereka juga semakin kurang.
"Ramai usahawan sekarang mengeluh jualan mereka semakin merosot selepas tamat PKP. Banyak juga cawangan perniagaan yang ditutup.
"Itu juga petanda bahawa rakyat semakin kurang berbelanja.
"Dalam masa sama, situasi politik yang masih tidak stabil juga belum mampu menarik pelabur untuk datang," katanya.
Orang ramai dinasihatkan untuk berbelanja dengan cermat ketika OPR makin naik.
Apa perlu rakyat lakukan
Jadi apa yang perlu rakyat lakukan untuk menempuh hari yang semakin mencabar daripada segi ekonomi untuk tahun depan.
Berikut apa yang dikongsikan Afyan sebagai penasihat kewangan terhadap orang ramai.
1. Bertahan, sementara ekonomi akan pulih.
2. Jangan buat sebarang hutang baru selagi belum betul-betul terdesak.
3. Bayar ansuran macam biasa ikut kenaikan OPR. Semak dengan bank kadar terkini supaya tidak berlaku silap faham. Ada hutang yang ikut OPR dan ada yang tidak.
4. Jika ada masalah bayaran ansuran dengan bank, jangan lari. Bincang dengan banker untuk restructure atau refinance hutang kalian. Jalan terakhir, rujuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
5. Usahakanlah untuk tambah pendapatan. Tambahkan sekali ilmu kewangan supaya apabila pendapatan bertambah, kos sara hidup tidak bertambah.
Tambah pendapatan tanpa menambah ilmu dan mindset kewangan yang betul, akan jadi seperti "makin besar periuk, makin besar keraknya".
6. Usah berharap sangat bantuan kerajaan. Jika ada, ia bonus. Paling penting adalah berharapan, doa dan tawakal kepada ALLAH. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram