'Gegar Bukit Jalil', import baharu Sabah bakal bentuk gandingan mantap bersama Badd


  • Podium
  • Sabtu, 31 Dis 2022

Baddrol Bakhtiar dijangka membentuk gandingan mantap bersama pemain import dari Portugal pada musim depan. — Facebook/Sabah FC

MENJELANG beberapa bulan sahaja lagi, Liga Super Malaysia 2023 bakal membuka tirai dan setiap pasukan kini dilihat sudah mempersiapkan barisan terbaik bagi merebut kejuaraan musim depan.

Kuota pemain import sentiasa mencuri perhatian peminat dengan kehadiran pemain dari negara luar itu dilihat mampu merancakkan lagi suasana serta permainan di Malaysia dengan posisi serangan sering didominasi mereka.

Mengulas lanjut mengenai bahagian serangan, Sabah FC dilihat antara yang sedang giat membawa masuk muka-muka baharu sebagai persiapan menghadapi saingan domestik dan juga Piala AFC 2023.

Sabah yang sebelum ini membatalkan kontrak pemain sayap, Tommy Mawat Bada secara serta-merta pada pertengahan musim lalu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong dengan pemain tersebut merupakan antara tonggak utama yang berjaya membawa pasukan itu layak ke Piala AFC.

Namun, kelab Borneo itu dikhabarkan bakal membawa seorang pemain tengah berasal dari Portugal pada musim depan dan ia sekali gus memberi sinar dan harapan menggunung buat penyokong pasukan tersebut.

Nama Telmo Castanheira kian meniti di bibir peminat selepas pemain tengah berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan pemain import ke Sabah.

laal

Telmo Castanheira dijangka bakal membentuk gandingan mantap bersama Baddrol Bakhtiar.

Berketinggian 1.85 meter, pemain kaki kiri itu mempunyai kekuatan tersendiri apabila berkebolehan menjaringkan gol dari jarak jauh.

Beraksi di liga Iceland bersama pasukan IBV Vestmannaeyjar, Telmo telah membuat sebanyak 21 penampilan dan berjaya menjaringkan dua gol setakat ini.

Kemasukan pemain itu diyakini mampu memberikan impak besar pada persembahan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee bukan sahaja dalam liga domestik malah di peringkat antarabangsa.

Belum lagi disahkan berita tersebut, penyokong sudah mula membayangkan gandingan mantap yang bakal terbentuk sekiranya pemain itu beraksi bersama pemain berpengalaman Baddrol Bakhtiar di bahagian tengah.

Pemain tengah berasal dari Kedah itu merupakan antara tunjang utama skuad The Rhinos apabila menjaringkan sebanyak enam gol dalam 20 penampilannya pada musim lepas.

Gandingan duo pemain itu bersama Telmo sepertinya sudah menarik perhatian penyokong yang bercita-cita ingin menyaksikan kedua-dua pemain berkenaan menggegar stadium Bukit Jalil musim depan.

"Ong Kim Swee memang serius mahu membangunkan bola sepak Sabah, Telmo dan kapten Badd boleh kasi gegar stadium Bukit Jalil musim depan," kata Faisal Ibrahim.

"Sesuai dengan bajet Sabah, hantaran jauh, kawalan bola bagus dan sepakan jarak jauh pun boleh tahan jadi memang tak salah kalau bawa masuk dia," ujar Lee Bane.

"Tengok di YouTube cun juga dia ini, pakar sepakan jarak jauh, kita tunggu dan lihat sahaja la nanti dia berganding dengan Baddrol," tambah Ipar Omm.

Sekiranya kemasukan Telmo berjaya direalisasikan oleh pengurusan pasukan, ia semestinya memberikan keceriaan buat penyokong Sabah yang menaruh harapan tinggi dalam penampilan mereka di Piala AFC 2023 nanti.

Namun, berita itu masih menjadi tanda tanya sehingga sekarang dan Sabah dijangka membuat pengumuman kemasukan pemain importnya tidak lama lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram