'Throwback' Piala AFF 2010, fans rindu lihat titik peluh anak jati tanpa drama luar padang


  • Podium
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Mampukah Harimau Malaya mengulangi kejayaan dalam dicatatkan dengan menjulang trofi itu kali ini?

MENJELANG pertemuan bersama Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF 2022, tumpuan pasti diberikan terhadap skuad Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Bagaimanapun, cabaran pastinya besar terhadap pasukan kebangsaan, apatah lagi apabila mereka baru sahaja tewas di tangan pendahulu kumpulan, Vietnam pada Selasa.

Tidak cukup dengan itu, skuad itu juga terpaksa melupakan khidmat pertahanan kanan, Azam Azmi Murah yang dilayangkan kad merah berikutan kekasaran dilakukan tempoh hari.

Jadi, Harimau Malaya serta penyokong bola sepak tempatan pasti gusar akan keputusan berdepan Singapura pada 3 Januari di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Namun, di sebalik perasaan kurang senang itu, anak-anak buah Kim Pan-gon seakan-akan menerima suntikan semangat daripada ramai pihak, termasuk media tempatan.

Dalam satu hantaran Astro Awani pada Khamis, mereka seakan-akan menyambut ulang tahun ke-12 kejayaan skuad kebangsaan untuk menjulang trofi Piala AFF 2010.

Kenangan itu pastinya sukar untuk dilupakan peminat tegar seluruh negara apabila ia merupakan kejayaan sulung pasukan Harimau Malaya dalam mana-mana kejohanan.

1879633

Skuad kebangsaan berdepan misi sukar selepas tewas di tangan Vietnam dalam aksi Kumpulan B Piala AFF 2022.

Memori yang terpahat dalam ingatan itu sememangnya perlu diraikan saban tahun, lebih-lebih lagi apabila skuad ketika itu hanya dibarisi anak jati tanpa kehadiran pemain naturalisasi.

Perkara itu juga sepertinya dikongsikan penyokong bola sepak tanah air yang berasakan semangat dan kesungguhan dalam setiap perlawanan cukup berbeza.

Lebih menarik lagi, terdapat juga segelintir peminat fanatik yang sukar untuk melupakan bahawa tiada isu luar padang sehingga menjejaskan prestasi dan persembahan pasukan.

"Sungguh beremosi waktu ini. Tiada drama pemilik kelab yang tidak mahu lepaskan pemain mereka. Semua bersatu demi pasukan sebuah piala," kata Tarmizi Solusi.

"Zaman ni antara yang terbaik kerana mereka tidak memiliki import dalam Liga Malaysia sehingga membolehkan Safee Sali jadi rebutan kelab luar. 100 peratus anak tempatan," kata Adam Isa.

"Emosi, mental, teknik dan strategi adalah ramuan yang menjadi pada ketika itu. Skuad sekarang adalah baru dibentuk dengan keserasian dan persefahaman masih belum jitu sebabkan hantaran dan sentuhan agak goyah," kata Mie Wandy.

Ketika ini, pasukan kendalian Pan-gon masih mempunyai peluang cerah untuk melayakkan diri dari peringkat kumpulan, namun perlu memastikan tiga mata berharga mampu dibawa pulang dalam perlawanan akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram