PASUKAN Selangor FC bukan sahaja berjaya mengikat bintang skuad kebangsaan, Faisal Halim malah khabar angin menyatakan dia akan bergandingan dengan pemain import baharu dari Brazil.
Sebelum ini skuad Gergasi Merah berjaya mengikat tiga pemain baharu yang kini bersama skuad kebangsaan bagi mengharungi kempen Piala AFF 2022.
Tiga pemain tersebut ialah Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan Ruventhiran Vengadesan yang menjadi pemain utama bagi skuad terdahulu mereka.
Namun khabar angin terkini menyatakan Selangor FC sedang mengintai khidmat penyerang Brazil, Edigar Junio untuk memperkuatkan barisan serangan Gergasi Merah musim depan.
Benua Asia bukanlah lagi asing buat Edigar kerana pernah beraksi di Liga Jepun bersama beberapa pasukan di negara matahari terbit tersebut.
Edigar membantu pasukan Yokohama F. Marinos (Jepun) menjuarai kejuaraan liga pada 2019. — Agensi
Pemain berusia 31 tahun ini pernah membantu pasukan Yokohama F. Marinos (Jepun) menjuarai kejuaraan liga pada 2019 ketika itu bersama bintang Thailand, Theerathon Bunmathan.
Pada 2022, Edigar bermain di liga divisyen kedua Jepun bersama V-V. Nagasaki dan tersenarai antara 10 penjaring terbanyak di kejohanan tersebut.
Dalam 41 perlawanan, pemain berketinggian 1.74 meter ini berjaya menjaringkan 12 gol serta dua assist sekali gus menempatkan dia antara penjaring ketujuh paling banyak di dalam liga.
Jika benar kehadiran Edigar ke kem Selangor, ini bermakna Caion mungkin akan disisihkan walaupun berjaya menjadi penjaring terbanyak kedua di belakang Bergson (JDT).
Edigar bermain di liga divisyen kedua Jepun bersama V-V. Nagasaki dan tersenarai antara 10 penjaring terbanyak di kejohanan tersebut. — Agensi
Sebelum ini Selangor FC turut dikaitkan dengan perpindahan pemain sayap kebangsaan Syria, Mahmoud Al-Mawas.
Khabar angin ini didedahkan oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran dalam ciapannya di Twitter pada Isnin. Pemain berusia 29 tahun itu kini bermain untuk kelab Iraq, Al-Shorta SC.
Berketinggian 1.72 meter, Al-Mawas mencipta sensasi tersendiri apabila menjaringkan enam gol dalam 17 perlawanan ketika kelayakan Piala Dunia 2022.
Dia juga pernah menggondol gelaran Kasut Emas dengan 22 gol semasa membantu Al-Shorta menjulang Liga Perdana Iraq musim 2021-2022.
Selain itu, pemain sayap tersebut juga pernah beraksi dengan FC Botosani (Romania), Umm Salal (Qatar) dan Al-Arabi (Kuwait) sekali gus membuktikan dirinya sebagai ancaman kepada gol pihak lawan.
Jika Selangor berjaya mengumpul pemain-pemain yang berkualiti ini bakal memberikan saingan yang kompetitif di dalam Liga Super pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram