SKUAD Harimau Malaya bakal berdepan cabaran menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Selasa depan.
Anak-anak buah Kim Pan-gon yang beraksi tiga perlawanan berada di tempat kedua di belakang pasukan Vietnam dengan mengumpul enam mata.
Singapura di bawah bimbingan jurulatih Jepun, Takayuki Nishigaya yang baru mengharungi dua perlawanan berada di tempat ketiga dengan enam mata.
Dalam aksi menentang Vietnam, reputasi Harimau Malaya tercalar selepas mengalami kekalahan pertama 3-0 ke atas skuad Golden Star Warriors hasil jaringan Nguyen Tien Linh, Que Ngoc Hai (penalti) dan Nguyen Hoang Duc.
Dengan moral dan mental yang sedikit terjejas, pemain skuad kebangsaan memerlukan suntikan semangat dan motivasi untuk kembali bangkit berdepan The Lions.
Jaringan daripada Irfan Fandi ketika perlawanan antara Singapura dan Laos. — Facebook / AFF Mitsubishi Electric Cup
Seorang penyokong, Abdul Halim Ohseman berpendapat, skuad Harimau Malaya perlu mendapatkan gol awal bagi membolehkan mereka berada di kedudukan selesa pada perlawanan itu nanti.
"Tonik atau tip menentang Singapura pada hemat saya adalah jaringan awal yang perlu dilakukan Harimau Malaya pada perlawanan itu," tulisnya di ruangan komen Facebook Football Association of Malaysia.
Jaringan awal sememangnya penting dalam mana-mana perlawanan bola sepak bagi mencipta momentum permainan yang bagus sepanjang aksi berlangsung.
Bahkan perkara itu pernah ditegaskan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir yang mengingatkan bahawa 10 minit pada awal perlawanan antara masa penting kerana ia mempengaruhi psikologi dan semangat pemain.
"Dalam bola sepak, 10 minit pertama, 10 minit sebelum masa rehat, 10 minit selepas rehat dan juga 10 minit sebelum wisel penamat merupakan detik paling penting," kata Jamal.
Irfan bermain di posisi pertahanan namun berbahaya kepada lawan kerana kemampuan meledak gol. — Facebook /FAS
Sementara itu, seorang lagi penyokong, Md Azrie berpendapat Malaysia perlu mencari dan memanfaatkan kepincangan dalam skuad Sang Singa.
"Kalau ikutkan prestasi, team Singapura tidak seperti sebelum ini. Mereka juga pincang di banyak posisi.
"Namun kita tahu setiap kali lawan Malaysia, mereka akan all out dan jarang kita nak dapat laluan mudah. Paling penting, kita kena main macam biasa tanpa tekanan.
"Pemain kena relaks dan usah terburu-buru. Insya-ALLAH kita akan melayakkan diri ke separuh akhir bertemu Thailand," katanya.
Rahadiazli (kiri) antara tonggak pilihan untuk diturunkan sebagai penjaga gol utama ketika aksi menentang Singapura pada Selasa. — Facebook /FAM
Amir Md Yusof pula berharap Pan-gon akan menurunkan pemain bersesuaian untuk berdepan senjata Singapura antaranya pemain bintang mereka, Irfan Fandi yang juga anak legenda bola sepak negara itu, Fandi Ahmad.
Irfan bermain di posisi pertahanan namun berbahaya kepada lawan kerana kemampuan meledak gol. Ikhsan Fandi yang mengetuai jentera serangan The Lions pula difahamkan tidak diturunkan kali ini kerana mengalami kecederaan lutut ketika beraksi menentang Maldives.
"Biasa Singapura akan main 200 peratus apabila lawan Malaysia. Memang akan banyak main fizikal (kekasaran), jadi harap dapat turunkan pertahanan sesuai selain elakkan kena kad merah.
"Anak-anak Fandi (Irfan dan Ikhsan) tinggi-tinggi, Rahadiazli Rahalim sesuai jadi penjaga gol bagi perlawanan tersebut untuk counter bola tinggi," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram