Perlu ada VAR, elak kontroversi Vietnam-Malaysia berulang  — Subkhiddin


  • Podium
  • Rabu, 28 Dis 2022

Bekas pengadil kebangsaan itu memberi pandangan profesional mengenai keputusan Ryuji Sato dalam perlawanan tersebut.  — FAM

SELEPAS memulakan kempen Piala AFF 2022 dengan cemerlang, skuad Harimau Malaya gagal untuk meneruskan rentak itu selepas tewas dengan skor 0-3 kepada Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa.

Pasukan kebangsaan dilihat tidak mampu untuk memberi tentangan hebat kepada pihak lawan selepas setiap gerakan serangan yang cuba diatur mudah dipatahkan.

Namun, apa yang menarik perhatian dalam pertembungan itu adalah keputusan pengadil perlawanan dari Jepun, Ryuji Sato yang melayangkan kad merah kepada pertahanan kanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad.

Keputusan itu difahamkan berpunca daripada kekasaran yang dibuat pemain berusia 21 tahun itu terhadap pertahanan Vietnam, Doan Van Hau pada minit ke-64.

Menariknya, insiden berkenaan berlaku ketika kedua-dua mereka berada di luar padang selepas Azam dilihat ditolak terlebih dahulu ketika sedang cuba untuk mengeluarkan bola daripada zon berbahaya.

Lebih teruk lagi, pengadil berusia 45 tahun itu juga memberikan sepakan penalti kepada Vietnam, yang berjaya disempurnakan pemain berjersi no. 3, Que Ngoc Hai pada minit ke-64.

Tinjauan di media sosial mendapati insiden berkenaan sedang hangat dibincangkan penyokong bola sepak tempatan dengan majoriti daripada mereka berasakan keputusan itu tidak adil.

Namun, bagi bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh, dia melihat layangan kad merah dan pemberian sepakan penalti itu adalah tepat, namun masih terdapat perkara lain yang meragukan.

"Yang pertamanya, kita perlu faham bahawa dalam undang-undang, jika insiden tersebut berlaku di luar garisan sempadan permainan dan hampir dengan kawasan penalti, contoh seperti mana insiden yang kita lihat sebentar tadi.

"Cuma, pada pandangan saya, sepatutnya kesalahan pertama dilakukan oleh pasukan Vietnam. Oleh itu, informasi pertama yang perlu diberikan kepada pengadil adalah kesalahan oleh pemain Vietnam.

Dia berkata demikian kepada Astro Arena pada Selasa ketika diminta memberi pandangan profesional mengenai keputusan Ryuji yang dilihat berat sebelah.

Bagaimanapun, terdapat satu lagi insiden yang sepertinya dilupakan orang ramai, iaitu apabila larian Azam dihalang Van Hau yang mana tiada sebarang tindakan diambil.

WhatsApp Image 2022-12-28 at 19.33.35

Vietnam mudah merobek gawang Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan B Piala AFF 2022.

Oleh itu, bagi mendapatkan pencerahan lanjut, Majoriti meminta pandangan Subkhiddin untuk menjawab kekeliruan mengenai peraturan dan situasi itu dari sudut pandangan seorang pengadil.

"Saya lihat dari pemerhatian dua sudut yang mana dia menghalang menggunakan badannya jika dilihat daripada belakang kedua-dua pemain itu.

"Bagi sudut kedua pula iaitu dari kamera belakang pintu gol Vietnam, saya nampak dia mengasari pemain Harimau Malaya tanpa diberi sebarang cabaran, jadi pada pandangan saya, pihak lawan perlu diberi kad merah dan penalti kepada skuad kebangsaan," katanya kepada Majoriti.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai keperluan pihak penganjur untuk menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR), Subkhiddin menjelaskan bahawa kedua-dua insiden itu diharapkan menjadi sebab untuk AFC memperkenalkannya dalam masa akan datang.

"Kalau kita lihat dalam perkembangan bola sepak hari ini, kita dapat lihat insiden itu memang memerlukan penggunaan teknologi kerana sukar untuk kita gunakan kemampuan manusia secara tersendiri.

"Dalam insiden yang Azam ditolak ke luar padang, jika kita gunakan VAR, pengadil berpeluang untuk melihat semula perkara yang berlaku dengan lebih tepat," katanya.

Kekalahan tersebut menyaksikan anak-anak buah Kim Pan-gon terpaksa berusaha lebih keras dalam perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Singapura pada 3 Januari 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Vietnam pula dilihat berjaya melepasi peringkat kumpulan selepas mengumpul sembilan mata daripada tiga perlawanan termasuk menjaringkan sembilan gol tanpa dibolosi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram