TMJ cabar beri satu nama, siap list 10 sumbangan buat Harimau Malaya termasuk pinjamkan kanvas stadium


  • Podium
  • Rabu, 28 Dis 2022

TMJ turut mencabar mana-mana pihak atau individu memberi satu nama individu lain yang memberikan sumbangan lebih daripadanya dalam meningkatkan kualiti bola sepak negara. — Facebook/HRH Crown Prince of Johor

PEMILIK kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan sumbangan yang dicurahkannya terhadap perkembangan bola sepak tanah air.

Tunku Ismail menerusi kenyataan di Instagram Story peribadinya seolah-olah memberikan reaksi balas terhadap persoalan pihak tertentu mengenai sumbangan baginda dan JDT kepada pasukan kebangsaan dan bola sepak tanah air.

Berdasarkan InstaStory itu, berikut 10 fakta sumbangan Tunku Ismail dan JDT kepada skuad Harimau Malaya dan bola sepak negara:

1) JDT menyumbang 16 mata kepada ranking dalam kalangan AFC MA (Member Association). Hal itu memberikan lebih banyak slot kepada pasukan Liga Super untuk bertanding dalam kejohanan peringkat Asia.

2) Pemain JDT membantu skuad kebangsaan mengutip 32.07 mata ranking FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sekali gus menyaksikan perubahan daripada tangga ke-154 kepada 146 dunia.

3) JDT meminjamkan Pusat Latihan Padang Sri Gelam kepada skuad negara. Ia juga membolehkan kem negara mengadakan latihan serta perlawanan persahabatan di Stadium Larkin dan Pasir Gudang pada tahun 2021.

4) TMJ memberikan tajaan sebanyak RM1.4 juta untuk penanaman rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil yang akan bermula pada Mac 2023.

5) TMJ dan JDT meminjamkan kanvas stadium untuk menjaga kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum perlawanan penting pasukan kebangsaan.

321768780_558347169493262_7730013597071177915_n

TMJ dan JDT meminjamkan kanvas stadium untuk menjaga kualiti padang Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum perlawanan penting pasukan kebangsaan. — Facebook/ FAM

6) Memberikan sebuah bas rasmi untuk kegunaan pasukan kebangsaan pada tahun 2017.

7) Merombak dan mengecilkan saiz pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjaga aspek kewangan badan induk itu.

8) Mengurangkan saman MP Silva terhadap FAM daripada RM6.5 juta kepada RM1.4 juta dan TMJ turut membayar RM1.4 juta menggunakan wang sendiri bagi menyelesaikan kes tersebut.

9) Membelanjakan RM12 juta duit sendiri untuk melapuskan hutang lapuk FAM dan menyuburkan program-program akar umbi FAM.

10) Menghantar jurulatih skuad kebangsaan ke Sepanyol untuk perkongsian profesional.

Dalam pada itu, TMJ turut mencabar mana-mana pihak atau individu memberi satu nama individu lain yang memberikan sumbangan lebih daripadanya dalam meningkatkan kualiti bola sepak negara.

"Saya cabar beri satu nama sesiapa yang memberi sumbangan lebih daripada saya kepada pasukan kebangsaan dan bola sepak tanah air termasuk pemimpin-pemimpin kelab anda," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram