SKUAD Harimau Malaya mengalami kekalahan ‘tragis’ selepas tewas 0-3 kepada seteru tradisi, Vietnam dalam aksi peringkat Kumpulan B saingan Piala AFF 2022 pada Selasa dengan pengadil perlawanan dari Jepun, Ryuji Sato melakukan beberapa keputusan yang dianggap kontroversi.
Kontroversi tercetus pada minit ke-59 apabila pengadil dari Jepun itu memberikan sepakan penalti kepada Vietnam selepas Azam Azmi Murad didakwa mengasari Doan Van Hau.
Keputusan pengadil itu cuba dibantah barisan pemain Harimau Malaya kerana tiada kekasaran yang dilihat dilakukan Azam ke atas Van Hau di dalam kotak penalti melainkan berlaku pergelutan dua pemain itu di luar padang selepas kedua-duanya terjatuh ketika merebut bola.
Insiden itu turut menyaksikan perlawanan terhenti kira-kira lima minit dan nasib lebih malang menimpa Harimau Malaya apabila Azam dilayangkan kad merah sebelum Que Ngoc Hai menyempurnakan sepakan penalti.
Penyokong Harimau Malaya menganggap keputusan Ryuji itu 'membunuh' semangat pemain kebangsaan ketika anak buah Kim Pan-gon berusaha keras untuk memadam jaringan pertama Vietnam yang disumbangkan Nguyen Tien Linh pada minit ke-29.
Disebabkan kekalahan tersebut, seorang peminat bola sepak tempatan tiba-tiba memuat naik ciapan di Twitter menyatakan skuad kebangsaan perlu akur dengan kekalahan ini kerana ketiadaan pemain-pemain Johor Darul Takzim (JDT).
"Realitinya Harimau Malaya perlukan pemain-pemain JDT untuk lebih kualiti dan semalam mampu kalahkan Vietnam jika ada Syihan Hazmi, Matthew Davies, Dion Cools, Shahrul Saad, Syahmi Safari, Corbin Ong, Syamer Kutty, Azam Azih, Arif Aiman, Faisal Halim dan Darren Lok," ujarnya di Twitter.
Malaysia akan bertemu Singapura pada aksi ‘hidup-mati’ di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Facebook/FAM
Namun pemerhati sukan, T. Avineshwaran membalas ciapan tersebut dengan menyatakan skuad kebangsaan memerlukan sokongan yang padu daripada penyokong bola sepak tempatan.
"Realitinya 23 pemain ini adalah kebangaan kita, mereka adalah pasukan kebangsaan dan akan belajar dari perlawanan ini, saya sentiasa percaya bahawa mereka akan comeback dan bangkit semula.
"Buat masa sekarang, kita kena sokong 23 pemain ini, saya percaya jika kita bertemu Vietnam, mereka akan beri yang terbaik," jelasnya di Twitter.
Malaysia yang beraksi tiga perlawanan berada di tempat kedua dengan turut mengumpul enam mata diikuti Singapura yang baru mengharungi dua perlawanan di tempat ketiga. — Facebook/FAM
Kekalahan pasukan negara itu menyaksikan Malaysia gagal menamatkan kemarau tanpa kemenangan ke atas Vietnam sejak 2014 - tewas tujuh dan seri sekali, sementara kejayaan pada Selasa membolehkan Vietnam mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.
Malaysia yang beraksi tiga perlawanan berada di tempat kedua kini berkongsi enam mata dengan Singapura yang baru mengharungi dua perlawanan di tempat ketiga manakala Myanmar dan Laos tercorot selepas gagal mengutip sebarang mata.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon seterusnya akan bertemu Singapura pada aksi ‘hidup-mati’ di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Januari depan, namun Singapura terlebih dahulu akan menerima kunjungan Vietnam di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram