'Kami ingin buat Pan-gon gembira semula'


  • Podium
  • Rabu, 28 Dis 2022

Insiden yang menyaksikan Azam Azmi dilayangkan kad merah dan Vietnam dihadiahkan sepakan penalti ketika Piala AFF di Hanoi pada Selasa. — Facebook/ Football Asean

SKUAD Harimau Malaya kembali melaungkan amaran untuk bangkit memburu kemenangan berdepan Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Selasa depan.

Kapten pasukan negara, Mohamad Faisal Abdul Halim berkata, mereka mempunyai masa yang cukup untuk ‘berehat’ dan membuat persediaan rapi selepas mengharungi jadual padat apabila beraksi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari termasuk dua aksi di tempat lawan.

"Sudah tentu lawan Singapura kita akan bagi habis-habisan, kita ada seminggu untuk rehat dan menjalani proses pemulihan bagi kembalikan kita punya moral dan mental.

"Kami ingin buat jurulatih Kim (Kim Pan-gon) gembira semula...sudah tentu dia datang sini untuk menang dan kami pun sama kerana sudah lapan tahun Malaysia tak menang lawan Vietnam dan kita ingin buat perubahan,” katanya ketika ditemui selepas aksi menentang Vietnam di Hanoi pada Selasa.

Pada pertembungan di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam menang 3-0 hasil jaringan Nguyen Tien Linh, Que Ngoc Hai (penalti) dan Nguyen Hoang Duc sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah berdepan Malaysia sejak 2014.

322346840_942234183433027_6085384438124074790_n

Faisal (kiri) mahu Harimau Malaya membuatkan Pan-gon gembira semula selepas kekalahan Malaysia ke atas Vietnam. — Facebook/FAM

Keputusan itu membolehkan skuad Golden Star Warriors mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan manakala Malaysia mengalami kekalahan pertama dalam kempen Piala AFF kali ini.

Malaysia yang beraksi tiga perlawanan berada di tempat kedua dengan turut mengumpul enam mata diikuti Singapura yang baru mengharungi dua perlawanan di tempat ketiga (enam mata) manakala Myanmar dan Laos tercorot selepas gagal mengutip sebarang mata.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Pan-gon akan bertemu Singapura pada aksi ‘hidup-mati’ di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 3 Januari depan, namun Singapura terlebih dahulu akan menerima kunjungan Vietnam di Stadium Jalan Besar, Jumaat ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram