TRW kekal 2 watak utama, fans makin yakin percaturan Norizam


  • Podium
  • Khamis, 22 Dis 2022

Kelantan FC bakal bersaing dalam Liga Super selepas muncul sebagai naib juara Liga Perdana. — Facebook/TRW Kelantan FC

PENANTIAN bertahun-tahun Kelantan FC untuk beraksi di divisyen teratas bola sepak tempatan akhirnya berakhir apabila mereka menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua.

Hal itu berpunca daripada suntikan pemilik, Norizam Tukiman yang tidak henti-henti melakukan pelaburan di samping membawa perubahan kepada pasukan Pantai Timur itu.

Selain itu, semangat penyokong The Red Warriors (TRW) untuk hadir menyaksikan perlawanan secara langsung turut memberi sumbangan dengan pemain gigih mengerah keringat di atas padang.

Jadi, dengan landskap liga dijangka bakal menjadi lebih sengit musim depan, rombakan merupakan antara perkara yang diharapkan bagi mempersiapkan pasukan.

Namun, setakat ini, pihak pengurusan dilihat berdiam diri sepanjang jendela perpindahan Liga Malaysia apabila tiada pemain baharu dibawa masuk.

Lebih teruk lagi, jiran terdekat, Kelantan United FC dikatakan sedang giat melakukan perubahan dengan khabar angin mengatakan beberapa wajah baharu sudah berjaya disambar.

Perkara itu seakan-akan mengguris hati penyokong TRW apabila kepulangan ke Liga Super sudah lama dinanti-nantikan sejak penyingkiran memalukan mereka pada 2018.

Bagaimanapun, baru-baru ini, berita baik mula diterima dengan segelintir tonggak skuad disahkan bakal menabur khidmat bersama pasukan itu buat sekurang-kurangnya semusim lagi.

315542161_8370864579650642_3719831127524059699_n

Yusri merupakan kapten TRW meskipun usianya baru sahaja 23 tahun. Facebook/TRW Kelantan FC

Kapten kelab, Yusri Yushamadi dan pemain tengah, Fazrul Amir Zaman menjadi dua nama terawal yang akan terus kekal dengan TRW selepas masing-masing bijak membuktikan kebolehan setiap kali diturunkan.

Bagi Yusri, pemain berusia 23 tahun itu menjadi antara tonggak utama kerana dia beraksi secara konsisten di posisi pertahanan di samping rakan-rakan sepasukan.

Di samping itu, kecemerlangannya turut diiktiraf pihak pengurusan apabila Norizam secara peribadi menghadiahkannya sebidang tanah sebagai satu bentuk penghargaan.

Melihat kepada ruangan komen, keputusan berkenaan diterima baik majoriti penyokong TRW berpendapat pemain muda itu mampu digilap sehingga menjadi salah satu benteng terbaik buat pasukan.

"Yusri boleh jadi bintang satu hari nanti dan struktur fizikalnya boleh ditambah baik. Kelajuan dia pun boleh diberi perbezaan. Semoga berjaya, Kapten," kata Hsni Rzmn.

"Pada saya, corak permainan dia cukup agresif dan jika ada pengalaman sikit, insya-ALLAH boleh bertambah baik kebolehannya di atas padang," kata Zulhaidi Manaf.

Sementara itu, keputusan untuk mengekalkan Fazrul turut menggembirakan penyokong apabila dia merupakan antara watak penting di sebalik kejayaan Kelantan FC.

Musim lepas, pemain berusia 22 tahun itu diturunkan sebanyak 11 kali daripada 18 aksi Liga Perdana dengan dia diberi tugas untuk menyekat hantaran pihak lawan.

1699700

Fazrul (kanan) merupakan antara tonggak pasukan yang menamatkan saingan di tangga kedua Liga Perdana. Facebook/TRW Kelantan FC

Oleh itu, kehadirannya bersama skuad TRW musim depan memberi bayangan bahawa pasukan Pantai Timur itu tidak akan mudah berputus asa berdepan lawan yang lebih mencabar.

"Semoga prestasi Fazrul Amir terus meningkat bersama TRW pada musim-musim akan datang," kata The Red Warriors City Club.

"Pemain ini mungkin kadang-kadang dia lalai di atas padang, tetapi bagus sungguh sebenarnya. Rajin dan saya suka tengok cara permainan dia. Ada seni permainan," kata Muhammad Fakruddin Ismail. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram