Selepas TFC, Perak FC dan 2 lagi kelab turut berlumba buru khidmat bekas bintang kebangsaan


  • Podium
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Danial Ashraf (kiri) juga pernah bermain bersama Malaysia B-23 dan Malaysia B19. — Agensi

BAGI menghadapi musim 2023, Penang FC membuat pendekatan dengan membuat rombakan sebahagian daripada pemainnya yang mana seramai 13 pemain dilepaskan selepas menabur bakti bersama skuad Harimau Kumbang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pihak pengurusan pada awal Disember lalu, seramai empat pemain import turut digugurkan daripada perancangan Penang FC musim depan iaitu Endrick Dos Santos, Casagrande, Lucas Espindola dan Christian Rontini.

Hafizul Hakim, Rafiuddin Roddin, Thivendaran, Gopi Rizqi, Tam Sheang Tsung, Azim Rahim, Jafri Firdaus Chew, Faizal Talib, Shukri Hamid, Azzizan Nordin, Ariff Ar-Rasyid, Syazwan Zaipol dan Daniel Ashraf merupakan 13 pemain tempatan yang bersama pasukan Penang sepanjang musim 2022.

Berita pengguguran pemain tersebut pastinya menjadi kelebihan buat pasukan lain memburu khidmat tonggak Harimau Kumbang dan ada di antara mereka sudah dikaitkan perpindahan ke kelab lain pada musim depan.

Antara pemain Penang FC yang berjaya mencuri perhatian kelab lain ialah Danial Ashraf Abdullah.

WhatsApp Image 2022-12-16 at 14.27.43

Danial Ashraf memulakan kariernya bersama Penang FC pada musim 2021. — Facebook/Penang FC

"Dikhabarkan Terengganu FC, Kelantan United, Perak FC dan Kedah Darul Aman FC berminat mendapatkan pemain Penang FC, Danial Ashraf untuk memperkukuhkan barisan tengah dan sayap pasukan," tulis hantaran dari Revolusi Terengganu.

"Kemas tengah free agent. Boleh main penyerang kedua, tengah menyerang dan pemain sayap," tulis penyokong TFC, Iqie Muhammad yang bersetuju idea untuk membawa masuk pemain berkenaan.

Meskipun pada musim ini, khidmat pemain berusia 25 tahun itu jarang digunakan oleh pengendali Penang FC namun tidak dapat dinafikan dia pernah dilabel sebagai antara pemain berbakat besar.

Selepas Datuk Zainal Abidin Hassan dilantik sebagai pengendali utama Danial Ashraf hanya tampil dalam 10 perlawanan Liga Super dan mencetak satu gol sahaja buat skuad Penang FC.

Berbeza di bawah kendalian Thomas Trucha, pemain kelahiran Kelantan itu memainkan peranan penting dengan tampil sebanyak 19 kali dan meledak empat gol pada musim 2021 bersama Penang FC.

Bekas pemain Kelantan Bawah-21 itu memutuskan untuk berhijrah ke Penang FC pada musim 2021 namun jodohnya bersama skuad Hariamu Kumbang dilihat tidak berpanjangan selepas pihak pengurusan tidak ingin meyambung kontraknya.

Bersama Kelantan sejak usia muda, Danial Ashraf pernah menyertai seketika Harimau Muda sebelum ia dibubarkan pada penghujung 2015.

Untuk rekod, Danial Ashraf juga pernah bermain bersama Malaysia Bawah-23 (B-23) dan Malaysia B-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram