SELEPAS mengesahkan slot ke Piala AFC musim depan, Sabah FC tidak menunggu lama untuk melakukan rombakan terhadap skuad dengan pembukaan jendela perpindahan Liga Malaysia awal Disember lalu.
Kejayaan untuk mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan, Darren Lok disusuli dengan pengumuman kehadiran benteng pertahanan baharu, Irfan Zakaria dari Kuala Lumpur (KL) City FC.
Selain itu, laporan tidak rasmi dan khabar angin mengatakan skuad Sang Badak sedang berusaha mendapatkan bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC, S Kumaahran dan pertahanan kiri Selangor FC, R Dinesh.
Hal itu membuktikan pasukan itu lebih yakin untuk berdepan saingan lebih mencabar musim depan dengan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee juga difahamkan akan mengemudi skuad tersebut.
Bagaimanapun, untuk memastikan pasukan di tangga ketiga Liga Super musim lalu itu lebih bersedia, pihak pengurusan juga mengambil langkah melepaskan beberapa pemain.
Antara yang dikhabarkan tidak lagi terikat dengan Sabah FC ialah penyerang import, Jose Embalo dan pertahanan kanan, Alto Linus dengan masing-masing mempunyai kelemahan tersendiri.
Baru-baru ini, muncul satu lagi ura-ura yang berlegar di media sosial mengatakan pemain berusia 29 tahun, Nazirul Naim Che Hashim tidak akan bersama skuad Sang Badak tahun depan.
Meskipun menjadi antara tonggak utama pasukan Borneo itu pada 2021, isu kecederaan dan kecergasan menyekat pertahanan kiri tersebut untuk turun dengan lebih kerap musim ini.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, Nazirul mengumpul sebanyak 15 penampilan Liga Super dengan hanya dua daripadanya aksi penuh 90 minit perlawanan.
Nazirul Naim pernah beraksi bersama Perak FA pada 2016 hingga 2021. — MFL
Prestasi itu difahamkan serba sedikit menyekat perancangan barisan kejurulatihan dengan mereka terpaksa meletakkan tanggungjawab berkenaan di bahu pemain lain.
Melihat kepada luahan di media sosial, rata-rata penyokong Sabah FC kurang senang dengan pemergian pemain itu selepas mempamerkan kesungguhan di atas padang setiap kali beraksi.
"Nazirul Naim ialah salah satu di antara pemain yang berusaha penuh di atas padang, teruskan perjuangan kamu di bawah majikan baharu," kata Amod LG.
"Alamak, sayangnya. Tapi, itulah lumrah kehidupan, ada yang datang dan pergi. Selamat maju jaya, Nazirul dan terima kasih kerana sudah berkhdimat untuk Sabah," kata Shaidi Raimin.
"Pada saya, Nazirul Naim sudah OK, cuma kurang konsisten dan hakikatnya di Sabah FC, ramai pemain yang berkomited tetapi cuma yang terbaik akan kekal," kata Brayn Bredley Yusak.
Sebelum ini, terdapat juga laporan yang mengatakan dia mula terpikat untuk pulang ke Perak FC selepas nasib pasukan itu berubah dengan suntikan dana selain layak ke kancah Liga Super.
Bagaimanapun, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menegaskan bahawa dia sudah berpuas hati dengan skuad sedia ada, sekali gus seolah-olah menutup pintu kepada kepulangan pemain tersebut.
Tetapi, melihat kepada usianya ketika ini, tidak timbul sebarang persoalan sekiranya terdapat Liga Malaysia bakal menyambar khidmatnya dalam usaha memperkukuhkan benteng pertahanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram