PENJAGA gol Penang FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy antara pemain meninggalkan pasukannya dan tidak akan disambung kontrak untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Pemain berketinggian 185 sentimeter lebih dikenali Hafizul Hakim mula menyertai kelab Perak FC pada 2014 sebelum dia menyertai skuad Harimau Kumbang.
Hafizul yang berasal dari Ipoh, Perak juga pernah menyertai skuad Harimau Malaya bagi perlawanan persahabatan menentang pasukan Indonesia pada 6 September 2016 di Stadium Manahan, Solo, Indonesia.
Dia juga terpilih dalam skuad 23 pemain Malaysia untuk Kejohanan Piala AFF 2016 sebagai penjaga gol pilihan ketiga di belakang Khairul Fahmi dan Khairul Azhan, namun dia tidak beraksi dalam Kejohanan AFF itu yang mana skuad kebangsaan tersingkir di peringkat kumpulan.
Antara aksi terbaik Hafizul sepanjang kariernya ialah semasa dia berjaya menyelamatkan sepakan penalti saat akhir menentang Hong Kong untuk membantu pasukan kebangsaan memperoleh mata pertama dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2019 dengan keputusan seri 1–1.
Musim ini, penjaga gawang berusia 29 tahun tersebut memperolehi 13 penampilan bersama Penang FC walaupun pasukan itu mencatatkan satu kempen yang mengecewakan.
Meskipun statistik tersebut tidaklah satu angka yang memberangsangkan, persembahannya di atas padang tidaklah terlalu mengecewakan dengan kerap bersemangat dalam menepis percubaan pihak lawan.
Hafizul Hakim antara pemain yang meninggalkan pasukan Penang FC. — Facebook
Bagaimanapun, prestasi itu dirasakan kurang menyumbangkan kepada skuad Harimau Kumbang yang sedang melakukan rombakan untuk mempersiapkan pasukan untuk musim depan.
Persoalannya, ke manakah destinasi yang bakal ditujunya selepas ini dengan khabar angin menyebut tiada pasukan merancang bagi mendapatkan khidmatnya melihat kepada pencapaian Penang FC dalam kempen Liga Super.
Namun, tinjauan di halaman Facebook PERAK FC FANS mendapati terdapat cadangan daripada segelintir penyokong Perak FC yang terbuka untuk menerima kepulangan Hafizul ketika jendela perpindahan kembali dibuka menjelang musim baharu 2023.
Hal itu adalah kerana penyokong The Bos Gaurus (TBG) masih merindui kelibat penjaga gol berkenaan, termasuk aksi dalam kemenangan Piala Malaysia 2018.
Ketika ini, pasukan kedua tercorot Liga Perdana itu hanya membawa masuk penjaga gawang muda, Bryan See bagi memperkukuhkan benteng pertahanan mereka.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila terdapat cadangan kepada pihak pengurusan dengan mengharapkan Hafizul bakal kembali menyarung jersi Perak FC untuk kempen liga akan datang.
Tetapi, hal itu dilihat tidak diterima rata-rata peminat tegar TBG apabila mereka berasakan pemain berkenaan bukanlah pilihan terbaik bagi kelangsungan pasukan.
Seorang penyokong, Mohammad Azril berkata, peluang Hafizul untuk menyertai Perak FC tipis kerana jurulatih TBG, Lim Teong Kim (LTK) sudah mempunyai perancangan tersendiri.
"Tak nak nya si yeop LTK itu. Awal-awal dia (LTK) sudah bagitahu dia nak buat perubahan besar pada Perak hasil ciptaan nya sendiri," katanya.
Sementara itu, Muhammad Eiman khidmat penjaga gawang itu tidak diperlukan kerana Perak FC sudah mempunyai penjaga gawang yang mencukupi.
"Perak ada banyak keeper sekarang, melainkan ada dalam perancangan coach," tulisnya.
Seorang lagi penyokong, Khairul Hafiz berasakan Hafizul merupakan punca utama Penang FC berada di tangga terbawah liga.
"Punca lubuk bolos gol banyak, sebab itu Penang teruk tercorot," katanya.
Setakat ini, Perak FC sedang giat melakukan perubahan terhadap skuad dengan menyingkirkan beberapa pemain yang dirasakan kurang berkualiti selain tidak berada dalam perancangan barisan kejurulatihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram