Azmeer nekad lupakan mimpi ngeri bersama Kedah, kembali bangkit dengan Penang FC


  • Podium
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Bersama Kedah pada musim ini, Azmeer menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan kiri sebelum membuat keputusan kembali bersama Penang FC. — Facebook/Penang FC

MUSIM 2022 bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC akan menjadi detik yang mahu segera dilupakan Azmeer Aris selepas membuat keputusan kembali ke bekas pasukannya sebelum ini, Penang FC.

Buat Azmeer, dia kurang berpuas hati dengan tahap pencapaiannya ketika bersama skuad Sang Kenari tetapi menganggap itu sebagai satu proses pembelajaran berguna dalam kariernya sebagai seorang pemain bola sepak.

Justeru, dia berharap mahu membuka lembaran baharu bersama skuad Harimau Kumbang serta membuktikan semula kemampuan dirinya yang pernah bertindak antara watak penting pada musim 2021.

“Mungkin tahun lepas rasanya semua orang tahu, saya tidak berada di tahap terbaik serta tidak boleh bagi keputusan yang baik kepada pasukan.

“Namun, banyak perkara yang saya belajar di Kedah sama ada pasukan tengah jatuh atau naik, diharap segala pengalaman itu akan mematangkan saya sebagai pemain.

“Bersama Penang, harap saya mampu mendapatkan kembali rentak seperti mana sebelum ini dan serta akan cuba bersaing bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Berdasarkan ramai pemain baharu yang akan menguatkan Penang, saya rasa kami boleh bangkit memberikan cabaran baharu kepada pasukan lain," katanya dalam kenyataan MFL.

WhatsApp Image 2022-12-17 at 15.33.55

Azmeer menyertai skuad Harimau Kumbang semula selepas meninggalkan pasukan itu pada musim 2021.

Beraksi dengan Kedah pada musim lalu, Azmeer menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan kiri dalam 11 perlawanan selain tujuh aksi diturunkan selaku pemain gantian pada sepanjang saingan Liga Malaysia.

Di Penang, walaupun diturunkan dalam enam perlawanan selaku kesebelasan utama dan sembilan sebagai pemain gantian pada musim 2021.

Persembahan pemain berusia 23 tahun yang berasal dari Telok Kumbar, Pulau Pinang itu sering kali diberi pujian oleh peminat-peminat setia Harimau Kumbang.

Azmeer meluahkan yang dia mahu menaikkan semula maruah Penang selepas prestasi yang buruk sepanjang musim lalu apabila menamatkan saingan di tangga tercorot Liga Super selain tersingkir seawal pusingan pertama TM Piala Malaysia.

Dia berasa menjadi sebahagian tanggungjawab untuk dirinya dan rakan-rakan bagi mengulangi semula pencapaian pada musim 2021 apabila berjaya mengakhiri saingan di tangga ketiga Liga Super.

“Harapan saya kepada semua pemain, tidak kisah sesiapa yang datang walaupun bukan berasal dari negeri ini, saya hanya minta bermainlah 100 peratus.

“Sudah sampai masanya pasukan Penang kena kembali naik seperti mana satu era dahulu, yang sentiasa digeruni oleh kebanyakan pasukan.

“Saya rasa tiada apa yang mustahil jika kita semua memberikan sokongan kepada jurulatih dan bermain atas semangat berpasukan demi nama Penang,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kedah Darul Aman FC, KDA FC, Azmeer Aris