PENGUMUMAN perubahan struktur Liga Malaysia 2023 pada Julai lalu menerbitkan pelbagai reaksi daripada pengamal industri bola sepak tempatan termasuk pengurusan kelab, barisan jurulatih dan juga penyokong.
Keputusan itu dibuat Liga Bola Malaysia (MFL) dengan tujuan untuk memastikan liga bola sepak profesional negara lebih dinamik dan berdaya saing.
Pada saingan musim 2023, Liga Super akan disertai 18 kelab berbanding hanya 12 kelab sejak 2013 dan Liga Perdana dimansuhkan buat sementara dalam tempoh tertentu.
Selain itu, setiap kelab dibenarkan membawa masuk sembilan pemain import dengan hanya lima daripadanya dapat diturunkan pada satu-satu masa.
Perubahan ini mungkin tidak banyak mempengaruhi pasukan sedia ada di Liga Super, namun ia mendatangkan cabaran besar buat pasukan dari Liga Perdana.
Setakat ini, pasukan Perak FC dilihat sudah mula membuat persiapan rapi dengan perlantikan jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim, penandatangan kontrak bersama pemain baharu dan penyingkiran beberapa pemain lama.
Bagaimanapun, pasukan-pasukan lain termasuk naib juara Liga Perdana, Kelantan FC kelihatan masih tidak mendedahkan perubahan yang dilakui mereka bagi menghadapi saingan kelompok terbaik liga musim depan.
Ini menimbulkan persoalan berkenaan kemampuan perubahan struktur Liga Super pada musim depan untuk mencipta daya saing sihat seperti diharapkan.
Perak FC serius dengan revolusi baharu skuad mereka untuk musim depan. — Perak FC
Jurang antara kelab Liga Super dan Liga Perdana sedia ada berkemungkinan akan kekal di mana pasukan Liga Super mendominasi kedudukan teratas carta manakala pasukan Liga Perdana berkumpul di dasar carta.
Bagi mengelak jangkaan itu berlaku, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat persiapan secara fizikal dan secara mental perlu selari sekiranya pasukan-pasukan di Liga Perdana tidak mahu sekadar memenuhi jadual perlawanan pada musim depan.
Perkukuhkan kewangan
Penutupan Sarawak United FC dan Melaka United FC pada musim ini perlu dijadikan iktibar buat pasukan Liga Perdana agar 'ukur baju di badan sendiri' apabila melibatkan aspek kewangan.
Dengan kebenaran membawa sembilan pemain import ke dalam pasukan musim depan, pasukan Liga Perdana dinasihatkan tidak terlalu 'gelojoh' ketika memborong pemain import.
Tambahnya, kelab-kelab perlu ligat mencari cara untuk menstabilkan keadaan kewangan kelab agar pasukan mampu bertahan untuk jangka masa panjang.
'Teaser' Kelantan United dengan barisan penaja yang menjanjikan perubahan bakal berlaku dalam pasukan tersebut musim depan.
"Perkara paling utama adalah kukuhkan kedudukan kewangan. Bila kewangan kukuh, barulah mereka dapat pemain-pemain terbaik dan juga pemain import berkualiti.
"Tapi perlu berhemat, jangan sebab nak main Liga Super sanggup berbelanja besar. Kita tak nak berita baru bermain beberapa bulan, terus gaji tak dibayar.
"Kalau kedudukan kewangan tak kuat dan pengurusan masih lagi corak lama. Sudah pasti pasukan itu tidak akan ke mana," katanya.
Persiapan mental barisan pemain
Biarpun membawa masuk pemain berpengalaman dari Liga Super atau membeli import berkualiti merupakan pilihan bijak, namun tidak boleh diabaikan tentang pemain sedia ada Liga Perdana.
Ini penting agar kualiti permainan sebagai satu pasukan seimbang dengan setiap posisi saling melengkapi antara satu sama lain.
Pemain Liga Perdana sedia ada tidak boleh berasa rendah diri terutama berhadapan pasukan gergasi seperti Johor Darul Takzim, Selangor FC,Terengganu FC dan Sabah FC.
"Walaupun kelab mampu membeli sembilan pemain import berkualiti, namun sekiranya pemain-pemain sedia ada tidak mampu menyeimbangi kebolehan pemain import itu juga tidak sesuai.
"Kita harap mereka juga tidak terkena 'kejutan budaya' nanti apabila tiba-tiba intensiti perlawanan berubah apabila bertemu dengan pasukan-pasukan gergasi.
"Oleh itu, persediaan secara mental barisan pemain perlu diterapkan dari awal. Dalam bola sepak, tiada apa yang mustahil," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram