PERAK FC ternyata sangat serius dalam membawa nafas baharu ke dalam skuad Seladang bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2023 apabila merombak semula pasukan mereka secara habis-habisan.
Perubahan dimulakan dengan pelantikan jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim yang sudah memulakan magisnya ke atas pemain-pemain Perak FC sejak September lalu.
Dengan karisma yang ada pada bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu, satu per satu pemain muda ditarik masuk ke dalam pasukan The Bos Gaurus (TBG).
Antara nama-nama tersebut termasuk bekas pemain Selangor II, Fahmi Daniel, Harith Naem (bekas pemain Melaka United), Ilham Aqil (graduan AMD), Bryan See (bekas penjaga gol Melaka), bekas pemain Sarawak United FC, Raja Imran Shah, Ahmad Haziq Puad (bekas pemain Melaka United FC) dan Hafizal Alias (bekas pemain Terengganu FC).
Selain itu, Fadhil Idris (bekas bintang Melaka United FC), Oswyn Lim (bekas pemain KL City FC) dan Sunil Chandran (bekas pemain PJ City FC) turut tersenarai dalam skuad bimbingan bekas penolong jurulatih Bayern Munich bawah 19 tahun itu.
Sudah puas dengan berita kemasukan pemain, penyokong TBG kini dijamukan dengan berita penamatan kontrak 15 pemain Perak FC yang diumumkan menerusi media sosial rasmi pasukan tersebut pada Jumaat.
Nama-nama tersenarai termasuklah Zamir Selamat, Yuganes, Syamim Yahya, Pavithran, Randy Baruh, Idris Ahmad, Stipe Plazibat, Ferris Danial, Farid Nezal, Aqil Hilman, Hafiz Ramdan, Indra Putra, Borhan Abdul Rahaman, Royizzat dan Aidril Faqir.
Penyokong tetap menghormati keputusan Teong Kim melepaskan beberapa pemain berbakat Perak FC. — Perak FC
"Terima Kasih. Jutaan terima kasih diucapkan. Kami amat menghargai kesungguhan anda sepanjang berada bersama-sama di Perak FC. Selamat maju jaya...!" tulis muat naik tersebut.
Di ruang komen, rata-rata peminat menjangkakan pengumuman tersebut susulan daripada tindakan pengurusan Perak FC memborong pemain-pemain baharu untuk dimasukkan ke dalam skuad mereka.
Bagaimanapun, terdapat beberapa nama disifatkan penyokong sebagai tidak wajar dikeluarkan daripada skuad Seladang.
Antaranya Aqil Hilman dan Farid Nezal yang dirasakan tidak wajar dilepaskan Perak FC.
Penyokong Perak FC, Adi Manz meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Teong Kim 'menyingkirkan' beberapa pemain yang menurutnya memiliki potensi.
"Aqil Hilman dengan Farid Nezal tu kenapa lepas? Randy tu tidak mengapa lah. Setakat pinjaman sahaja. Pening aku dengan LTK ini kadang-kadang," soalnya.
Sementara itu, Anan Crespo turut senada dengan Aidi yang terkejut dengan keputusan Perak FC itu.
"Naya, apa sudah jadi ini? Pavithran lebuh, Farid Nezal lebuh (dilepaskan), Randy lebuh, Zamir lebuh dan Aqil Hilman pun lebuh!," tegasnya.
"Paling sedih Wak Derih sebab dia antara pemain paling lama dalam pasukan, tidak pernah dia berbunyi walaupun tidak dibayar gaji. Bahkan, Berapa ramai orang kutuk, kecam dia, steady sahaja dia," sambung Hasbul Ash.
Namun seorang lagi penyokong, Nur Azlan Shaliza tidak mahu meletakkan sepenuh kesalahan kepada pengendali berusia 59 tahun kerana terdapat kemungkinan bahawa pemain yang memilih untuk dilepaskan.
"LTK tahu apa dia buat. Mungkin waktu latihan, pemain-pemain ini tidak bersungguh-sungguh, tak boleh ikut rentak, latihan pun tak serius semua itu.
"Jurulatih tahu dan dia pandai menilai pemain-pemain ini. Harap-harap tiada masalah bercuti dengan keluargalah, player bukan mesinlah," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram