JDT, Kedah, Selangor, TFC 'melopong', The Bos Gaurus pantas sambar produk trial Cardiff City


  • Podium
  • Selasa, 29 Nov 2022

Perak FC begitu galak membawa masuk muka-muka baharu bagi menghadapi saingan di Liga Super pada musim depan. — Facebook/ Perak Football Club

PENYERTAAN pemain-pemain baharu ke Perak FC cukup meriah selepas pasukan The Bos Gaurus kembali mendapat tempat dalam divisyen tertinggi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim, Perak FC kembali mengasah kuku bagi membuktikan kelab yang pernah terhumban ke kancah saingan Liga M3 itu mampu memberikan saingan sengit kepada kelab lain di pentas Liga Super.

Ketika ini, skuad Seladang mengumpulkan pemain di barisan pertahanan untuk memperkuatkan pasukan dan nama-nama yang sudah ditandatangani termasuk bekas pemain Sarawak United FC, Raja Imran Shah, Ahmad Haziq Puad (bekas pemain Melaka United FC) dan Hafizal Alias (Terengganu FC).

Terbaharu, Perak FC menandatangani dua lagi pemain yang akan bermain di posisi tersebut iaitu anak jati Perak, Fadhil Idris (bekas bintang Melaka United FC) dan Oswyn Lim (bekas pemain KL City FC).

WhatsApp Image 2022-11-28 at 17.45.31

Oswyn menandatangani kontrak bersama Perak FC semata-mata ingin berlatih dan bermain di bawah kendalian Teong Kim. — Instagram

Fadhil, 26, kembali beraksi dengan Perak selepas pernah mencipta nama dengan skuad bawah 21 tahun The Bos Gaurus dan skuad Perak II pada 2016.

Bekas pemain tengah pertahanan Melaka United pada musim lepas itu dilihat berpengalaman untuk memberi sokongan di bahagian tengah skuad The Bos Gaurus.

Bagi Oswyn pula, dia menandatangani kontrak bersama Perak FC semata-mata ingin berlatih dan bermain di bawah kendalian Teong Kim.

Pernah menyarung jersi Harimau Muda B-19, pemain yang hanya berusia 18 tahun itu disifatkan sebagai pemain yang sangat rajin dan pantas membaca permainan di atas padang.

Diberi gelaran Maguire Kuning oleh penyokong Perak, Oswyn menjadi sandaran sebagai pemain pelapis dalam skuad kendalian Teong Kim yang berpengalaman membimbing pasukan remaja Bayern Munich.

"Masa depan Perak ni, fizikal semua okey, nanti dah kerap dapat main mesti tak gugup dah," kata Muhammad Izzat di Facebook Perak Football Club.

WhatsApp Image 2022-11-28 at 17.45.22

Aris antara pemain yang memperoleh sesi coaching one-on-one dengan Ranieal Rozhan. — Instagram

Selain dua pemain itu, Perak FC juga difahamkan memperbaharui kontrak Aris Asri yang menyertai skuad Seladang pada musim lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu pernah menjalani sesi percubaan bagi menyertai skuad Bawah-23 (B-23) Cardiff City selain pernah bermain untuk John Madejski Academy dan Kuala Lumpur Youth Soccer.

Ketika Perak FC begitu galak membawa masuk muka-muka baharu, kelab elit lain dalam Liga M terpaksa menggigit jari melihat skuad Sang Seladang yang pernah dihimpit masalah kewangan sebelum ini, begitu pantas menyambar pemain-pemain muda itu.

Kelab elit seperti Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA FC), Terengganu FC dan Selangor FC dirasakan terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat mereka.

Bagi Perak FC, penyertaan bintang-bintang dalam pembikinan itu dilihat pasti akan membawa dimensi baharu dalam corak permainan Perak FC lebih-lebih lagi mereka bakal mendapat sentuhan daripada Teong Kim.

WhatsApp Image 2022-11-24 at 22.46.17

Perak FC menandatangani Hafizal untuk musim 2023. — Instagram

Selain bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari itu, sebahagian pemain baharu Perak seperti Oswyn, Aris Asri dan Raja Imran Shah juga menjalani sesi coaching one-on-one dengan jurulatih Ranieal Rozhan.

"Pasti tempo permainan laju sebab banyak yang muda-muda dalam kem Perak FC," kata Zulkarnain Abdul Karim.

Bagi memastikan nama-nama mereka tersenarai dalam kesebelasan utama, pemain-pemain itu perlu bekerja keras dan mempamerkan aksi konsisten dalam persaingan merebut tempat bermain di pentas teratas liga M.

Sebelum ini, Perak FC mengumumkan bekas pemain PJ City FC, Sunil Chandran sebagai salah seorang penggempur di bahagian serangan.

Antara pemain lain yang sudah diumumkan menjadi sebahagian daripada skuad Seladang ialah dua pemain muda, Harith Naem dan Ilham Aqil, serta penjaga gol Melaka FC, Bryan See. — Majoriti