'Bakal meletup 2024', borong bakat muda ke Perak, Teong Kim buktikan Malaysia tidak ketandusan pemain pelapis


  • Podium
  • Isnin, 05 Dis 2022

Perak FC mendapat bimbingan daripada jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim. — Facebook

SEORANG lagi pemain muda Perak FC diumumkan oleh Facebook rasmi Perak Football Club pada Isnin sekali gus menambah kekuatan kepada pasukan sedia ada yang sedang dibentuk ketua jurulatih, Lim Teong Kim.

Berusia hanya 20 tahun, Fahmi Daniel adalah salah seorang bakat muda arena bola sepak di Malaysia dan pernah beraksi mewakili negara ke Kejuaraan AFF B-23 tahun ini.

Bekas pemain Selangor FC II dan berasal dari Kuala Lumpur itu bermain di posisi bek atau sayap kanan.

Penyertaan Fahmi Daniel ke skuad The Bos Gaurus bersama bakat-bakat muda lain yang diumumkan sebelum ini membuatkan penyokong teruja dengan percaturan yang dibuat Teong Kim yang tidak asing dalam pembangunan bakat bola sepak di negara ini.

Seorang penyokong, Zack Henderson memberi kredit kepada bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu kerana berani mengetengahkan pemain-pemain muda dalam pasukannya.

"Aku tabik dekat LTK (Teong Kim) sebab dia berani ketengahkan pemain muda...bagus idea ketengahkan pemain muda ni.

"Jadi jurulatih E. Elavarasan dan KPG (Kim Pan-gon) akan nampak bakat-bakat pemain muda ini...mungkin selama ini bakat-bakat muda terpendam tapi LTK nak tunjuk dekat peminat bola sepak bahawa Malaysia tak ketandusan pemain muda dan berbakat seperti mereka. Apapun semoga maju jaya Perak FC," katanya.

311602719_180594351187615_6141210512002185863_n

Oswyn (tiga kiri) dan Aris Asri (tiga kanan) antara pemain yang menyertai Perak FC pada musim depan. — Facebook

Seorang lagi penyokong, Amirul Aziq pula berpendapat, bakat-bakat muda itu boleh menjadi aset kepada Perak FC dan negara suatu hari nanti.

"Best tengok transfer Perak, semua pemain muda berbakat. Kalau betul asah, mereka semua memang boleh jadi aset Perak dan negara," katanya.

Ada juga penyokong yang berasakan ia merupakan sebahagian daripada perancangan jangka masa panjang Perak FC untuk muncul sebagai kelab disegani suatu hari nanti.

"Ni kira perancangan jangka panjang... 2024 mungkin akan menjadi nanti...," ujar Atok Jack Farasu.

"(Pemain) ni nak meletop 2024...2023 kena sabar.. Ramai sangat daun muda," kata Edy Snez.

Kata Faiz Hanatta pula, "Fans Perak memang kena bersabar la kot awal-awal liga tak berapa nak menang...dah adapt nanti baru nampak hasil."

Sejak menyertai Perak FC, Teong Kim yang juga bekas jurulatih pasukan remaja Bayern Munich begitu agresif merekrut pemain-pemain muda dari Projek FAM-MSN.

Skuad Seladang sudah ditandatangani nama-nama termasuk bekas pemain Sarawak United FC, Raja Imran Shah, Ahmad Haziq Puad (bekas pemain Melaka United FC) dan Hafizal Alias (Terengganu FC).

Selain itu, Fadhil Idris (bekas bintang Melaka United FC), Oswyn Lim (bekas pemain KL City FC) dan Sunil Chandran (PJ City FC).

Antara pemain lain yang sudah diumumkan menjadi sebahagian daripada skuad Seladang ialah dua pemain muda, Harith Naem dan Ilham Aqil, serta penjaga gol Melaka FC, Bryan See. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram