Perak puas hati dengan Teong Kim, kualiti skuad


  • Podium
  • Selasa, 06 Dis 2022

Teong Kim dibawa masuk selepas Perak FC disahkan menyertai Liga Super musim depan. — Facebook/Perak Football Club

SELEPAS beberapa musim terkandas dalam Liga Perdana, Perak FC berjaya menempatkan diri dalam divisyen teratas bola sepak tanah air berikutan rombakan struktur daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kesempatan itu pastinya diambil pihak pengurusan The Bos Gaurus (TBG) dengan melakukan rombakan terhadap skuad yang sedikit mengecewakan musim ini apabila menduduki tangga kesembilan Liga Perdana.

Antara langkah awal yang dilakukan ialah membawa masuk ketua jurulatih ternama, Lim Teong Kim selepas sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Meskipun segelintir penyokong masih mempersoalkan keputusan itu, masih ramai yang tertarik dengan kehadiran jurulatih berusia 59 tahun itu selepas pernah menimba pengalaman di Eropah.

Tidak cukup dengan itu, Perak FC juga tidak menunggu lama untuk membawa masuk beberapa pemain baharu dengan bakat-bakat baharu tempatan berjaya disambar sebelum pembukaan jendela perpindahan Liga Malaysia.

Bekas penjaga gol Melaka United, Bryan See dan ubi muda Petaling Jaya (PJ) City FC, Shivan Pillay menjadi rekrut baharu juara Piala Malaysia 2018 itu melihat kepada kemampuan masing-masing.

Namun, langkah itu dilihat masih tidak mampu menambat hati kesemua penyokong TBG dengan segelintir daripada mereka berharap beberapa pemain berpengalaman mampu dibawa masuk.

Bagi Pengerusi kelab, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, beliau percaya dengan kehadiran tonggak pasukan berusia yang dimiliki Perak FC selepas melihat sumbangannya bersama pasukan sepanjang musim.

"Untuk pemain berpengalaman, kita akan gunakan pemain yang sudah ada ketika ini dan buat masa ini, tiada perancangan (untuk mendapatkan pemain berpengalaman)," katanya kepada Majoriti.

Dalam kempen Liga Perdana musim ini, Perak FC memulakan kempen dengan langkah kiri selepas hanya merekodkan satu kemenangan dalam lima perlawanan awal.

WhatsApp Image 2022-12-06 at 18.22.06

Abdul Azim berpuas hati dengan kemampuan dan cara latihan Teong Kim setakat ini.

Bagaimanapun, nasib pasukan itu akhirnya berubah dengan berita pemilikan penuh kelab oleh ONEXOX Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat kepada XOX Berhad.

Langkah itu disusuli dengan kehadiran semula penyokong yang dilihat membanjiri Stadium Negeri Perak untuk menyaksikan persembahan pasukan, termasuk pertemuan dengan Kuching City FC.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai tahap kepuasan pihak pengurusan terhadap Teong Kim, Abdul Azim berasakan jurulatih kelahiran Melaka itu mula menunjukkan sentuhannya bersama skuad ketika ini.

"Kita berpuas hati dengan cara dia, corak permainan dan sebagainya tetapi, kita akan lihat kemampuan dia apabila ada perlawanan nanti.

"Kalau kita lihat dalam sesi latihan sahaja, susah pula kepada kita untuk melakukan penilaian kepadanya," katanya.

Tambahnya, perlawanan persahabatan akan turut diadakan untuk memberi peluang kepada Teong Kim dan barisan teknikalnya untuk melihat kemampuan barisan pemain di samping membentuk gandingan antara satu sama lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram