Perak FC main teka-teki, 3 pemain mungkin jadi pilihan LTK


  • Podium
  • Khamis, 01 Dis 2022

Tiga trio yang menjadi teka-teki bakal beraksi bersama Perak FC musim depan.

MEMASUKI Liga Super musim depan, beberapa pasukan nampaknya sudah mula merancang pembelian pemain untuk tampil memberi saingan sengit.

Tidak terkecuali bagi Perak FC yang nampak begitu bersemangat memborong pemain untuk berdepan saingan musim depan.

Malah, pengendalinya, Lim Teong Kim juga ibarat sudah merancang sesuatu untuk membawa pasukannya berada di kelompok atasan Liga Super 2023.

Terbaharu, The Bos Gaurus menerusi Facebook rasminya memuat naik sebuah video dengan kapsyen yang menjadi tanya tanya penyokong.

Menerusi video itu, Perak FC memberi hint kepada penyokong supaya menantikan trio terbaharu yang bakal dibawa masuk.

Beberapa nama mula menjadi sebutan dalam kalangan penyokong dan berikut, Majoriti senaraikan tiga nama yang berkemungkinan akan menjadi anak buah Teong Kim.

WhatsApp Image 2022-11-30 at 10.03.57 PM

Fadhli Shas (tengah) dipinjamkan ke Melaka United pada musim lalu.

Fadhli Shas

Anak kelahiran Lumut, Perak ini antara yang disebut-sebut bakal beraksi bersama dengan Perak FC. Majoriti pernah berhubung dengan Fadhli berkenaan perkara ini dan jawapannya masih belum pasti.

Namun, kontrak pemain berusia 31 yang berakhir tahun ini nampak seperti tidak disambung pasukannya, Johor Darul Takzim (JDT) sekali gus membuka ruang untuk Perak mengambilnya.

Banyak pemain muda yang cuba dibawa Teong Kim bersamanya musim depan dan kehadiran Fadhli sebagai seorang pemain senior, mungkin akan ditagih.

Apatah lagi pengalaman beraksi bersama JDT dan skuad kebangsaan, sudah cukup baik untuk pemain ini terjemahkan bersama pasukan baharunya.

Kenny

Kenny Pallraj sukar mendapat tempat bersama KL City.

Kenny Pallraj

Nama pemain tengah ini bukan baharu dalam Perak FC. Malah, sebelum beraksi bersama KL City, dia memulakan kerjayanya bersama skuad bawah 21 tahun Perak.

Kemampuan pemain berusia 29 tahun ini juga tidak dapat dinafikan. Cuma dia kurang dipilih untuk bersama kesebelasan utama KL City disebabkan saingan pemain seperti Akram Mahinan dan Ryan Lambert.

Sama seperti Fadhli, Pallraj mempunyai pengalaman di peringkat kebangsaan terutamanya ketika KL City beraksi hingga ke peringkat final di Piala AFC.

Pengalaman dan usia yang masih muda mungkin akan menjadi daya penarik buat Teong Kim mengambilnya kembali ke The Bos Gaurus.

312901201_139284592190619_5665942035911867595_n

Nazirul Naim sebelum ini dikenali sebagai tonggak pertahanan Perak FC.

Nazirul Naim

Berasal dari Lahad Datu, Sabah dan kini beraksi bersama pasukan negerinya, Nazirul Naim mempunyai sejarah tersendiri bersama Perak FC.

Ini kerana sebelum beraksi di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, dia merupakan pemain untuk The Bos Gaurus.

Cuma penampilannya bersama Sang Badak nampak tidak konsisten walaupun dia sebelum ini merupakan tonggak pertahanan Perak FC.

Pengalaman yang dimiliki bersama The Bos Gaurus sebelum ini serta pernah beraksi untuk liga Jepun bersama Ryukyu FC mungkin menarik hati Teong Kim untuk memilihnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram