Penang FC 'salin kulit', 3 nama mula dirindui


  • Podium
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Penang FC menyaksikan beberapa pemain meninggalkan pasukan selepas satu musim yang menghampakan. — Facebook/Penang FC

MESKIPUN tidak terpalit dengan isu kewangan dan pengurusan, Penang FC gagal untuk menunjukkan kemampuan terbaik di atas padang apabila menduduki tangga tercorot Liga Super.

Bagi sebahagian penyokong, perkara itu berpunca daripada kegagalan pihak pentadbiran untuk mengekalkan tonggak pasukan sehingga mudah disambar pasukan lain pada musim ini.

Sedangkan, Penang FC pada musim 2021 begitu cemerlang apabila menduduki tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Takzim (JDT).

Tidak cukup dengan itu, perancangan tidak rapi juga dikatakan sebagai penyumbang kepada masalah itu sehingga menyaksikan ketua jurulatih berpengaruh, Tomas Trucha mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad Harimau Kumbang.

Oleh itu, dalam menyelesaikan perkara itu, rombakan terhadap skuad merupakan antara penting yang perlu dilakukan, apatah lagi dengan jendela perpindahan Liga Malaysia secara rasmi dibuka pada Khamis.

317627711_651466816493976_2846675820890794964_n

Sebahagian besar pemain Penang FC tidak akan bersama skuad tersebut musim depan. — Facebook/Penang FC

Selain perlu mendapatkan beberapa wajah baharu, keputusan juga perlu dibuat terhadap pemain yang kurang menyerlah sepanjang musim bagi membolehkan struktur kewangan menjadi lebih stabil.

Luahan itu sepertinya didengari pihak pengurusan apabila mereka mengumumkan sebilangan besar skuad Harimau Kumbang tidak akan dikekalkan, termasuk pemain import.

Namun, perkara yang sebaliknya pula berlaku apabila tinjauan di media sosial mendapati penyokong pasukan Utara tanah air itu tidak sanggup melihat pemergian beberapa tonggak pasukan.

Perkara itu adalah kerana mereka kerap memberi sumbangan yang terbaik buat pasukan walaupun kerap dikecewakan rakan sepasukan dalam setiap perlawanan.

Meskipun dilihat terdapat banyak nama yang disebut-sebut, tiga pemain berkenaan dilihat membanjiri ruangan komen, sekali gus membuktikan penyokong tidak mampu menerima penghijrahan mereka.

1. Hafizul Hakim

Musim ini, barisan kejurulatihan meletakkan kepercayaan penuh ke atas dua penjaga gawang iaitu Khatul Anuar Md Jalil serta Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Kedua-dua pemain tersebut dilihat menerima layanan dan peluang yang saksama dengan masing-masing memperolehi 11 penampilan daripada 22 aksi Liga Super.

Namun, berdasarkan pemerhatian teliti, Hafizul merekodkan prestasi lebih cemerlang apabila dia mengharungi dua perlawanan tanpa dibolosi dengan satu daripadanya merupakan aksi cemerlang ketika kemenangan ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC.

Jadi, pemain berusia 29 tahun itu dikatakan lebih sesuai untuk menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama buat Penang FC dalam beberapa musim akan datang.

Bagaimanapun, hajat yang sebelum ini dipasang penyokong sepertinya tidak kesampaian dengan pihak pengurusan mengumumkan kontrak Hafizul tidak akan disambung.

312710821_623273939313264_3781330922952337183_n

Pemergian Hafizul dipertikaikan penyokong Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC

Hal itu dilihat sukar untuk diterima apabila penjaga gol berkenaan terus memaparkan aksi memberangsangkan di samping kecekapan yang kerap mengecewakan pihak lawan.

Ketika ini, Hafizul masih tidak mengeluarkan kenyataan mengenai destinasi baharunya meskipun terdapat beberapa luahan di media sosial yang berharap dia bakal pulang ke Perak FC.

Persoalannya, dengan skuad The Bos Gaurus dilihat sudah melakukan rombakan lebih awal, adakah mereka akan membuka pintu kepulangan buat pemain kelahiran Ipoh, Perak itu?

Selain itu, pasukan itu turut berjaya mendapatkan khidmat bekas penjaga gol Melaka United, Bryan See yang mempunyai potensi besar dan sesuai dengan kehendak pengendali Perak FC, Lim Teong Kim.

2. Lucas Silva

Walaupun baru sahaja menyertai skuad Harimau Kumbang pada jendela perpindahan kedua Liga Super 2022, Lucas Silva tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan kualitinya.

Dalam 11 penampilan Liga Super, pemain kelahiran Brazil itu berjaya menjaringkan enam gol, termasuk jaringan kemenangan ketika menundukkan KL City FC di laman sendiri.

Tidak cukup dengan itu, ketua jurulatih sementara, Datuk Zainal Abidin Hassan turut dilihat memberi kepercayaan buat Lucas dengan memberinya tanggungjawab untuk memakai lilitan kapten dalam beberapa aksi Liga Super.

Prestasi itu dilihat menarik perhatian beberapa pasukan Liga Malaysia dengan khabar angin sebelum ini mengatakan Sri Pahang FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya untuk musim depan.

Perkhabaran tersebut pastinya mendatangkan sedikit kegelisahan buat penyokong Penang FC dengan struktur fizikal serta kelajuan Lucas sering dinanti-nantikan.

313426391_625275995779725_6774253113984643415_n

Mampukah pengganti Lucas Silva dicari untuk musim depan? — Facebook/Penang FC

Tetapi, ura-ura itu akhirnya menjadi realiti dengan pihak pengurusan turut mengumumkan pemain berjersi no. 7 terbabit tidak akan bersama pasukan tersebut musim depan.

Seperti yang dijangka, penyokong seakan-akan terpaksa menelan berita menyedihkan itu walaupun segelintir daripada mereka mula meluahkan kekecewaan itu di media sosial.

"Import terbaik yang pernah kita ada sejak 10 tahun kebelakangan ini. Namun, adalah lumrah apabila pemain datang dan pergi dan saya harap penggantinya bakal menjadi yang terbaik," kata Md Azrie.

"Dia ni bagus je di hadapan pintu gol lawan, tetapi lama-lama dia pun letih dengan Penang FC yang terlalu 'bocor' dalam posisi pertahanan," kata Farid Fk.

Seperti dibincangkan awal tadi, Sri Pahang FC difahamkan berminat untuk mendapatkan Lucas ketika tempoh perpindahan pemain bagi digandingkan dengan penyerang kelahiran Colombia, Steven Rodriguez.

3. Daniel Ashraf

Musim ini, antara kelemahan yang boleh diperhatikan dalam Penang FC ialah ketumpulan jentera serangan dengan mereka hanya berjaya mengumpul 22 gol dalam 22 perlawanan Liga Super.

Perkara itu adalah kerana kebergantungan barisan kejurulatihan terhadap pemain import sehingga terpaksa menyisihkan pemain tempatan, lebih-lebih lagi sekiranya mereka masih dianggap terlalu muda.

Antara nama yang kerap mengalami situasi tersebut ialah penyerang berusia 25 tahun, Daniel Ashraf Abdullah dengan hanya mampu mengumpul 13 aksi liga.

Bagaimanapun, kebanyakan daripada penampilan tersebut adalah sebagai pemain gantian dan hanya diturunkan sebanyak tiga aksi dalam kesebelasan utama.

Peluang terhad itu sememangnya menjejaskan kebolehan serta sumbangannya buat pasukan apabila pemain kelahiran Kelantan itu hanya mencetak satu gol Liga Super ketika berdepan Melaka United Mac lalu.

Danial-Ashraf-1024x683

Usianya yang baru sahaja mencecah 25 tahun menjadi faktor keengganan penyokong melihat Daniel pergi. — Facebook/Penang FC

Tetapi, kekurangan itu seperti diterima penyokong apabila Daniel kerap mempamerkan aksi terbaik dengan memberi tekanan kepada kepada benteng pertahanan awal.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila mereka mula mempersoalkan keputusan pihak pengurusan yang tidak menyambung kontraknya dengan meluahkan kekecewaan itu di media sosial.

"Danial Ashraf tu sayang pula tengok dia keluar juga dengan rakan sepasukan," kata Mohamad Arisman.

"Pada saya, Daniel Ashraf tu OK sahaja sepanjang musim ini," kata Senjanan Biru.

Setakat ini, tiada pasukan yang dilihat berminat untuk menyambar khidmat pemain dengan ketinggian 1.7m itu selepas dia dilihat perlu meraih lebih banyak pengalaman bersama skuad senior.

Namun, dengan struktur baharu Liga Malaysia musim depan, Daniel dilihat mampu menyertai beberapa bekas kelab Liga Perdana seperti PDRM FC dan Kuching City FC yang juga tidak mahu ketinggalan dalam mengukuhkan lagi skuad masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram