SELEPAS mengharungi satu musim yang mengecewakan, Sri Pahang FC pasti berhasrat untuk melakukan perubahan terhadap skuad setelah jendela perpindahan dibuka awal Disember lalu.
Antara rombakan yang dilaungkan penyokong ialah memberi jawapan terhadap masa depan barisan kejurulatihan yang musim lalu menampilkan pengendali berpengalaman, Datuk Dollah Salleh.
Walaupun pada awalnya membawa sinar kepada pasukan, prestasi terumbang-ambing sebelum penutup musim menyaksikan skuad Tok Gajah menduduki tangga ketujuh Liga Super.
Selain itu, penyingkiran memalukan di pentas Piala Malaysia kepada Terengganu FC turut menguatkan lagi desakan daripada peminat setia yang berhasrat untuk melihat perbezaan untuk musim depan.
Ketika ini, pihak pengurusan Sri Pahang FC dilihat tidak melakukan sebarang aktiviti dari segi perpindahan, baik dari segi pengambilan pemain mahupun penyingkiran wajah-wajah pasukan yang kurang menyerlah.
Tetapi, berdasarkan khabar angin yang berlegar di media sosial, beberapa pemain Liga Malaysia mula dikaitkan untuk menyertai skuad Tok Gajah musim depan, termasuk penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman.
Namun, perkara itu masih tidak menyuntik kegembiraan kepada penyokong yang masih mengharapkan pihak pengurusan dapat melakukan perancangan lebih teliti.
Bagi mereka, kriteria pengambilan pemain perlu dibuat berdasarkan pengalaman seseorang itu dalam landskap bola tempatan bagi memudahkan proses penyesuaian diri bersama pasukan.
Melihat kepada situasi semasa, terdapat lambakan pemain yang dilepaskan kelab masing-masing selepas kontrak mereka tidak mahu disambung selepas dirasakan kurang menyumbang sepanjang musim.
Azamuddin (kiri) pernah menjadi antara pemain terbaik ketika bersama Pahang FA.
Penyerang sayap berpengalaman, Azamuddin Akil merupakan sebilangan pemain yang berdepan nasib itu selepas Kedah Darul Aman (KDA) FC melakukan rombakan terhadap skuad mereka.
Sehingga kini, bekas pemain Harimau Malaya itu dilihat tidak menarik perhatian mana-mana pasukan dengan usianya sudah mencecah 37 tahun selain kurang menyumbang buat pasukan.
Berdasarkan statistik musim lalu, Azamuddin yang juga dikenali sebagai Alex hanya diturunkan dalam sembilan perlawanan dan mampu menyumbang satu gol buat pasukan.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila pasukan kurang tertarik untuk mendapatkan khidmatnya, apatah lagi dengan kehadiran bintang-bintang muda daripada akademi masing-masing.
Bagaimanapun, bagi penyokong skuad Tok Gajah, mereka masih membuka pintu seluas-luasnya kepada Azamuddin yang pernah menabur bakti bersama pasukan Pantai Timur itu untuk lima musim.
"Pada saya, hantaran Alex ini sememangnya berkualiti dari sayap serangan dan bagus juga sekiranya dia dapat digandingkan dengan Steven Rodriguez.
"Sri Pahang boleh ambil dia ni dan saya rasa, permainan akan menjadi lebih baik. Sekiranya dibawa masuk sebagai pemain berpengalaman, boleh juga dia ajar budak-budak muda," kata Shafiq Snickers.
"Semoga terus maju jaya, Alex dan sekiranya tidak bermain sekali pun, bolehlah dia mengambil kursus kejurulatihan untuk menggantikan Dollah Salleh," kata Azmi Harun.
"Alex ni lebih bagus rasanya daripada Baqiuddin selain mempunyai kemahiran seperti pemain tengah, Nor Azam Azih. Setakat dibawa masuk untuk 25 minit terakhir sudah cukup untuk gegarkan pertahanan lawan," kata Hafidzi Hasran.
Sepanjang berkhidmat bersama pasukan itu, Azamuddin merupakan antara tonggak pasukan yang menjulang dua trofi Piala Malaysia, iaitu pada 2013 dan 2014 serta Piala FA 2014.
Di samping itu, statusnya sebagai anak jati Pahang turut menguatkan lagi tarikan dengan penyokong semestinya teruja sekiranya Alex dapat menamatkan kariernya bersama pasukan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram