Umur 32 baru buat comeback, bintang JDT jangan 'lemas' di Sri Pahang


  • Podium
  • Isnin, 05 Dis 2022

Khidmat Izham Tarmizi kini banyak digunakan bersama skuad simpanan, JDT II. — Facebook

BEBERAPA nama pemain dari kelab elit di Selatan tanah air menjadi topik perbualan penyokong bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini.

Ini selepas ada pemain tempatan berpengalaman dari kelab Johor Darul Takzim (JDT) dikaitkan dengan perpindahan ke Sri Pahang FC untuk menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Selain Mohd Azrif Nasrulhaq yang kini aktif bermain untuk JDT II bagi saingan Liga Perdana, kapten skuad kedua Harimau Selatan itu turut disebut-sebut bakal menyarungkan jersi Tok Gajah musim depan.

Pemain yang dimaksudkan ialah penjaga gol JDT II, Mohd Izham Tarmizi, 31, yang dikatakan bakal berhijrah ke pasukan Sri Pahang selepas bersama JDT sejak musim 2014.

Setelah sembilan tahun berbakti dengan JDT, penyokong berpendapat peluang menyertai skuad Tok Gajah akan dapat memulihkan karier bola sepak Izham.

316255424_504251671742582_3927227229886556588_n

Farizal Marlias (depan) dan Haziq Nadzli antara penjaga gol utama pasukan JDT. — Facebook

"Taraf Izham sebenarnya main kat Liga Super...Dah bertahun-tahun bersama JDT pun sukar nak main skuad utama. Jadi mungkin berhijrah dpt memulihkan kariernya dan mungkin dapat terpilih semula mewakili negara," kata Muhammad Khairul.

Tidak kurang ada juga peminat yang berasakan Izham sudah agak berusia untuk membuat comeback dalam kerjayanya.

"Teruk sangat ni tahun depan umur 32 baru nak buat comeback," ujar Aswad Razak.

Bekas pemain kebangsaan itu menyertai Harimau Selatan pada 2014 daripada skuad Harimau Muda A, namun khidmatnya kini banyak digunakan bersama skuad simpanan, JDT II.

Biarpun tidak bermain di divisyen 1 Liga M, Izham yang bertindak sebagai kapten pasukan wajar menerima pujian kerana mengemudi pasukan hingga beroleh kejuaraan Liga Perdana musim ini.

315450052_2454569294706355_6975884700343740122_n

Kontrak Izham bersama JDT dikhabarkan sudah tamat 30 November lalu. — Facebook

"Si Izham ni main di JDT II... banyak minit permainan dia dalam skuad JDT II dan bawa JDT II jadi juara liga lagi, jadi bagi aku dia bukan terpinggir, cuma standard dia belum sampai untuk bermain di squad utama JDT," kata Ijam Mk.

Kontrak Izham bersama JDT dikhabarkan sudah tamat 30 November lalu dan perkara itu mengukuhkan lagi khabar perpindahannya ke pasukan Sri Pahang pada musim depan.

Penyertaannya ke Sri Pahang kelak diharap dapat memberi satu suntikan kepada pasukan itu yang terumbang-ambing pada musim ini ekoran masalah prestasi termasuk pertukaran jurulatih pada pertengahan musim.

"Dah join Pahang, prestasi jangan macam yoyo pula... lama sangat di JDT tu harap tak lemas di tempat baharu," kata Iwan Monolo.

Selain Izham, rakan sepasukan, Azrif Nasrulhaq, 31, juga dikhabarkan ke skuad Tok Gajah bersama dua lagi pemain JDT yang dipinjamkan ke Melaka United FC musim ini iaitu Fadhli Shas, 31, dan Syazwan Andik, 26. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram