'Ingatkan bersara', Sri Pahang jadi pilihan 'right back' terbaik Liga M


  • Podium
  • Ahad, 04 Dis 2022

Mohd Azrif (kanan) mulai menempa nama sewaktu bermain untuk pasukan Selangor pada 2015. — Facebook/JDT

SRI Pahang FC yang hanya menamatkan saingan di kedudukan ketujuh Liga Super musim ini dikatakan dalam proses merombak pasukan bagi memperkukuhkan lagi skuad Tok Gajah untuk menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Selain prestasi turun naik di Liga Super, musim 2022 juga menyaksikan Sri Pahang tersingkir dalam aksi suku akhir Piala FA dan terkandas di pusingan 16 Piala Malaysia pada 1 November lalu.

Meskipun sudah memborong ramai pemain import seperti Steven Rodriguez, dari Colombia, Kevin Ingreso (Filipina), Sherzod Fayziev (Uzbekistan) dan penjaga gol Mamadou Samassa namun ia masih tidak memberi impak positif buat pasukan itu.

Justeru itu, bagi memberi persembahan yang lebih baik pada musim depan, skuad Tok Gajah difahamkan sedang membawa masuk pemain tempatan berpengalaman pada musim depan.

Pemain yang dimaksudkan ialah Mohd Azrif Nasrulhaq yang kini aktif bermain untuk Johor Darul Takzim II (JDT II) bagi saingan Liga Perdana.

“Setelah sekian lama tidak bermain di Liga Super dan banyak bermain di Liga Premier musim ini, Azrif Nasrulhaq yang kini berusia 31 tahun dikhabarkan akan menyertai Sri Pahang FC musim 2023 ! Antara Right Back terbaik Malaysia suatu ketika dahulu,” tulis ciapan dari penyokong bola sepak tanah air, One FootballM.

WhatsApp Image 2022-12-04 at 1.00.34 PM

Mohd Azrif mulai menyertai JDT pada 2016. — Facebook/JDT

Bekas pemain kebangsaan itu menyertai Harimau Selatan pada 2016 daripada Selangor namun khidmatnya kini banyak digunakan bersama skuad simpanan, JDT II.

Kontrak Mohd Azrif bersama JDT dikhabarkan sudah tamat 30 November yang lalu dan perkara itu mengukuhkan lagi khabar perpindahannya ke pasukan Sri Pahang pada musim depan.

Mohd Azrif yang sebelum ini menggalas tanggungjawab untuk menjaga pertahanan kanan buat JDT semakin kurang menyerlah selepas mengalami kecederaan yang serius dan posisinya itu digantikan dengan Matthew Davies.

Bagaimanapun, khabar kemunculan semua pemain kelahiran Selangor itu mendapat respons yang kurang positif dari penyokong Tok Gajah dan rata-ratanya terkejut dengan berita perpindahannya.

“Laaa...main bola lagi ke...ingat dah bersara dah,” komen penyokong bola sepak, YusrYushua.

“Drama bola sepak Malaysia. Memang rasa rugi bakat diperam, tapi janji gaji pasti masuk,” tulis penyokong, iamsymslvdli.

“Yang dah hujung hujung karier baru masuk pahang lepas itu mesti nak main Malaysia semula sedih lah macam ini,” komen penyokong, cid79541439.

Selain daripada nama Mohd Azrif, Sri Pahang juga dikaitkan dengan tiga tonggak JDT iaitu pemain pertahanan JDT, Fadhli Shas dan Syazwan Andik serta penjaga gol JDT II, Izham Tarmizi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram