Tiga kontroversi tolak panggilan Harimau Malaysia kekal diingati peminat


  • Podium
  • Isnin, 05 Dis 2022

Pasukan negara sedang melakukan persiapan menghadapi dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives pertengahan bulan ini. — Facebook/FAM

KEKECOHAN seramai 14 pemain yang tidak dapat menyertai kem latihan negara bagi menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bermula 20 Disember depan, masih sahaja dibincangkan sehingga hari ini.

11 dari 14 pemain yang tidak menyertai kem Harimau Malaysa adalah tonggak dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan ketiadaan mereka adalah disebabkan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.

Sebelas pemain JDT itu adalah Shahrul Saad, La’vere Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan dan Natxo Insa.

Tiga lagi pemain merupakan Nor Azam Azih (Sri Pahang) serta dua pemain Kuala Lumpur City, Declan Lambert dan Akram Mahinan.

Pelbagai pendapat yang dikeluarkan oleh para penyokong dan antaranya ialah walaupun kejohanan berkenaan tiada dalam kalendar FIFA, namun adalah tanggungjawab seorang pemain bola untuk menabur bakti kepada negaranya.

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama para pemain tanah air menolak tawaran untuk menyertai Harimau Malaya dan rata-rata daripada mereka mempunyai sebab tertentu sehinggakan ada alasan yang melucukan.

Berikut Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang gagal melapor diri atas alasan tertentu;

1) Shahrul Nizam Ros Hasni

shahrul nizam

Shahrul Nizam terlepas perlawanan persahabatan di Jordan. — Facebook/TFC

Nama Shahrul Nizam menjadi bualan para penyokong bola sepak tanah air apabila dirinya gagal dihubungi untuk melapor diri ke kem latihan pusat bagi perlawanan persahabatan di Jordan pada 2021.

Difahamkan faktor utama mengapa pemain pertahanan Terengganu itu gagal melapor diri ialah kerana dia turun ke laut bagi melakukan aktiviti mencandat sotong.

Susulan daripada tindakannya itu, peminat bola sepak negara mengkritik Shahrul Nizam dan menyifatkannya sebagai pemain yang tidak menghormati panggilan kebangsaan.

Selepas sahaja menerima pelbagai tohmahan daripada orang ramai, Shahrul Nizam secara terbuka meminta maaf kepada penyokong dan menyatakan hasratnya yang sentiasa ingin bermain untuk pasukan kebangsaan.

Insiden berkenaan jelas tidak menjejaskan kepercayaan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon terhadap pemain berusia 24 tahun itu apabila dia pernah tersenarai untuk menyertai kem latihan pusat bagi persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun lalu.

2) Rizal Ghazali

rizal

Menjaga ayahnya yang sakit merupakan faktor Rizal terpaksa menolak panggilan kebangsaan. — Facebook/Sabah FC

Tonggak pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali mendapat kecaman teruk daripada pelbagai pihak selepas menolak untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan alasan bekas pemain Kedah itu tidak menyertai panggilan kebangsaan adalah kerana masalah kesihatan dihadapi keluarganya.

Dalam satu perkongsian di laman Instagram miliknya, pemain berusia 30 tahun itu mendedahkan bahawa kesihatan ayahnya yang tidak mengizinkan menyebabkan dirinya terlepas perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Filipina pada Mac lalu.

Selepas mencetuskan kontroversi, ada yang mengatakan bahawa Rizal boleh digantung serta denda RM25,000 akibat tindakannya itu.

Namun begitu, pihak FAM hanya memberikan amaran keras supaya pemain itu tidak lagi mengulangi tindakannya menolak panggilan menyarung jersi skuad kebangsaan.

3) Luqman Hakim Shamsudin

luqman

Luqman terpaksa menolak untuk menyarung jersi Harimau Malaya kerana tidak mendapat pelepasan daripada kelabnya. — Agensi

Pemain muda negara yang sedang berkelana di Belgium, Luqman Hakim difahamkan turut mendapat panggilan untuk menyertai kem latihan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric.

Bagaimanapun, panggilan negara itu terpaksa dilupakan oleh pemain berusia 20 tahun itu berikutan dia tidak mendapat pelepasan kelabnya, KV Kortrijk.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengarah Bukan Eksekutif KV Kortrijk yang juga pemilik akaun twitter, Amin Fuad pada Ahad.

Menurutnya, kelab berkenaan hanya memberikan cuti seminggu kepada pemain dan Luqman juga kini difahamkan sedang sedang menjalani proses latihan yang baik bersama pasukannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram