Nantikan 'Apai Sarawakian' bantu Tok Gajah mengamuk musim depan


  • Podium
  • Selasa, 06 Dis 2022

Gabriel antara bintang dalam pembikinan skuad JDT. — Facebook

KELAB Sri Pahang FC melalui musim yang agak malap dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) tahun 2022 dan menamatkan kedudukan ketujuh dalam saingan Liga Super.

Krisis kejurulatihan dan pemain nampaknya menjadi salah satu punca prestasi terumbang-ambing skuad kendalian Datuk Dollah Salleh itu.

Begitupun, skuad Tok Gajah boleh memberikan sepenuh tumpuan untuk merombak kembali barisan pemain pasukan tersebut agar skrip berbeza dapat dicipta pada saingan Liga M musim depan.

Selain rombakan pemain import, Sri Pahang juga dikatakan akan membawa masuk pemain tempatan dari kelab lain malah ada yang turut diterbangkan dari Borneo.

"Rumours tempatan 2023 - Apai Sarawakian in," tulis laman penyokong Hogoh Pahang Hogoh.

Berikut tiga pemain dari Sarawak yang mungkin menyertai Sri Pahang FC bagi memperkuatkan skuad Tok Gajah itu musim depan.

291863273_5584922458218261_873756275798557589_n

Tauffiq (belakang kanan) tidak bersama SUFC pada musim depan. — Facebook

1) Tauffiq Ar Rasyid

Penjaga gol utama Sarawak United FC (SUFC) itu mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong bola sepak Bumi Kenyalang selepas kontraknya tidak lagi disambung untuk musim depan.

Tidak mustahil pemain berketinggian 1.85 meter ini bakal menggantikan penjaga gawang Sri Pahang ketika ini Mamadou Samassa.

Malah terdapat khabar angin mengatakan penjaga gol tinggi lampai dari Mali itu akan dibawa pulang ke Benua Biru pada musim depan sekali gus menyaksikan Tauffiq menggantikan tempatnya.

Meskipun demikian, terdapat kelab lain yang dikatakan turut berminat mendapatkan khidmat Tauffiq iaitu Negeri Sembilan FC yang mahu mencari pengganti Syihan Hazmi.

IMG_9727-1568x1046

Shamie (kanan) dikatakan sudah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Sri Pahang FC. — Facebook

2) Nur Shamie Iszuan

Pemain berusia 27 yang bermain di posisi sayap pasukan SUFC ini mungkin yang dimaksudkan sebagai Apai Sarawakian.

Berasal dari Bumi Kenyalang, pemain itu dikatakan hampir pasti akan menyarung jersi Kuning Biru setelah dikhabar menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Sri Pahang FC.

Malah dia juga katanya telah mengesahkan mengenai perpindahan itu kepada penyokong menerusi laman Instagram baru-baru ini. Apapun sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi dari Sri Pahang FC terhadap penyertaan Shamie ke pasukan itu.

nistelrooy

Gabriel merupakan antara tonggak JDT II dan membantu pasukan memenangi kejuaraan Liga Perdana. — Facebook

3) Gabriel Nistelrooy

Bakat muda yang pernah bermain untuk Kolej Vokasional Miri itu mengambil keputusan menyertai JDT IV pada 2019 dan kualitinya semakin menyerlah selepas empat tahun berkelana di selatan tanah air.

Malah Gabriel menjadi antara penjaring terbanyak pasukan sekali gus menyaksikan dia dinaikkan pangkat ke JDT II dan beraksi di Liga Perdana musim ini.

Dengan kualiti yang ditunjukkan, tidak mustahil anak jati Sarawak ini mencari lebih banyak minit permainan di skuad utama Sri Pahang musim depan.

Begitupun, pemain muda berusia 22 tahun itu mungkin juga kekal di JDT memandangkan masa depannya nampak cerah di kelab elit itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram