HARAPAN Sabah FC untuk membuat penampilan di kejohanan Piala AFC 2023 termakbul setelah Johor Darul Takzim (JDT) mengesahkan kejuaraan mereka pada Piala Malaysia Sabtu lalu.
Sebelum ini, Sabah FC terpaksa akur apabila terlepas slot kedua ke kejohanan Asia tersebut setelah gagal mempertahankan kedudukan kedua mereka dalam kempen Liga Super musim ini.
The Rhinos bimbingan Datuk Ong Kim Swee menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga selepas mengumpul 42 mata dari 22 perlawanan.
Dengan kemenangan JDT, Sabah FC secara tidak langsung menjadi pemilik slot ketiga Piala AFC sekali gus membolehkan mereka membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan antarabangsa tersebut musim depan.
Uniknya, pengumuman itu dibuat selepas Skuad Sang Badak sudah menutup tirai kempen mereka musim ini dan rata-rata pemain sudah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
Mendengar berita tersebut, pemain tengah bertahan Sabah FC, Park Tae-soo menggunakan laman media sosialnya untuk membuat ucapan berkenaan dengan perkembangan pasukan kesayangannya itu.
"Kami pergi Asia!," kata pemain import dari Korea tersebut sambil mengenyit mata.
Apa yang menarik, ucapan itu dibuat di puncak Gunung Kinabalu dengan pemain berusia 32 menyarung jersi Sabah FC di luar baju hoodie miliknya.
Tae-soo yang sedang bercuti turut memuat naik pengalamannya mendaki di dalam Youtube miliknya, Karim Park.
Muat naik Tae-soo mendapat reaksi positif penyokong Sang Badak, Arnez Hamidi yang geli hati dengan percubaan pemain kesayangan mereka itu berbahasa Melayu.
"Perkataan baru Karim Park cipta, PENAS. Gabungan perkataan PENAT dan PANAS," katanya.
Suharmi Sue pula menambah: " Waaaa.... sampai puncak juga jersi. Tahniah Karim Park and the geng," katanya.
"Mantap Park Karim... kenapa tak pergi satu team Sabah FC. Baru ngam macam training juga kan?" katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram