'Score' gol walaupun tidak sihat, Arif Aiman pikat Dortmund


  • Podium
  • Selasa, 29 Nov 2022

Arif tidak gugup ketika diasak pemain-pemain kelab gergasi Jerman. — Facebook/ JDT

BELUM sempat kering keringat pemain Johor Darul Takzim (JDT) merangkul gelaran Piala Malaysia, pasukan Harimau Selatan menambah satu lagi perlawanan sebelum menutup tirai musim ini.

Skuad kendalian Hector Bidoglio tampil sebagai pasukan tuan rumah untuk perlawanan persahabatan bersama kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund pada Isnin yang meyaksikan mereka tewas 1-4 kepada skuad Jerman tersebut.

Pada perlawanan tersebut, benteng pertahanan Harimau Selatan ternyata belum lagi bertaraf antarabangsa apabila mudah dibolosi pemain pasukan pelawat menerusi jaringan Goktan Gurpuz, Donyell Malen, Ole Pohlmann dan Samuel Bamba.

Namun apa yang menarik perhatian penonton bola sepak pada perlawanan tersebut adalah kelibat pemain sayap lincah JDT, Arif Aiman Hanapi yang pantas mencuri peluang untuk meledakkan gol tunggal buat pasukan Harimau Selatan itu.

ISKANDAR PUTERI, 28 Nov -- Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanafi (tengah) meraikan gol pertama pasukan JDT ketika menentang pasukan Borussia Dortmund FC, pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Arif (tengah) meraikan gol pertama pasukan JDT ketika menentang pasukan Borussia Dortmund FC, pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.

Aksi pemain berusia 20 tahun itu bukan sahaja mencuri perhatian penyokong, malah mendapat pujian pengulas antarabangsa yang memuji kelicikan Arif memecah benteng pertahanan kelab gergasi Jerman tersebut.

Lebih mengagumkan, keazaman Arif untuk mencabar potensi diri dengan bermain dengan pasukan Eropah terserlah apabila dia mengakui kurang sihat ketika ditemu bual bersama media tempatan selepas tamat permainan.

Melihat kesungguhan anak jati Pahang tersebut, penyokong bola sepak tempatan, Nasir Addeen meminta agar pihak Dortmund untuk menyunting Arif supaya dapat bermain dengan pasukan Eropah tersebut.

'Mantaplah Arif Aiman, Dortmund beli nanti," katanya.

Pendapat itu disokong oleh am_is_a_penguin dengan menyambung: "Habis perlawanan ni, Dortmund straight beli Arif Aiman je."

"Dortmund dah boleh beli kot Arif Aiman ni," celah Syabiles.

Mesut Aidil turut senada dengan semua penyokong lain: "Arif Aiman ni perform sangat ni lawan Dortmund, sebentar lagi ada la tu yang bida dia" katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram