MUSIM ini, pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) menjadi antara pasukan yang digeruni oleh kelab lain dengan menyaksikan skuad Jang Hobin berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat musim ini.
Sebelum ini, di bawah pendekatan taktikal yang digunakan oleh pengendali NSFC, K. Devan, Negeri Sembilan turut berjaya membantu Jang Hobin menjulang trofi Liga Perdana pada musim sebelumnya.
Kehebatan jurulatih berusia 55 tahun itu juga cukup dikagumi apabila berjaya menyerlahkan potensi para pemainnya sehingga dua daripada skuad berkenaan mendapat panggilan ke kem Harimau Malaysia.
Tonggak pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee dan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi bukan sahaja semakin menjadi pilihan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, malah dua pemain itu menjadi rebutan beberapa kelab lain.
Musim ini dikatakan tahun terakhir Khuzaimi dan Syihan Hazmi bersama NSFC. — Facebook/FAM
Difahamkan, pada musim depan Khuzaimi dan Syihan Hazmi akan berhijrah ke beberapa kelab lain termasuklah Selangor FC dan pemenang Liga Super 2022, Johor Darul Takzim (JDT).
Meskipun belum ada sebarang pengesahan berkaitan perpindahan kedua-dua pemain berkenaan, namun khabar berita itu menjadi kerisauan buat penyokongnya.
Oleh itu, kehilangan tonggak pasukan itu diramal bakal menyaksikan skuad Jang bergelut dalam mengulangi pencapaian mereka musim ini.
Namun, satu perkhabaran gembira seperti diterima penyokong apabila penyerang import, Gustavo Almeida dos Santos berkongsi satu foto menerusi laman Instagram peribadinya pada Khamis.
Gambar Gustavo bersenam yang dikongsikan menerusi laman Instastory. — Instagram/Gustavo
Foto berkenaan menunjukkan pemain import Brazil itu sedang bersenam menggunakan baju latihan Jang Hobin.
Walaupun hanya sekeping gambar namun ia sudah cukup menyakinkan penyokong bahawa Gustavo akan menyambung kontraknya bersama skuad Jang Hobin.
Pemain berusia 26 tahun yang baru sahaja menyertai NSFC pada jendela perpindahan kedua itu, sudah berjaya mencetak sembilan jaringan dalam 13 perlawanan Liga Super.
Ketajamannya di jentera serangan itu amat diperlukan skuad Jang Hobin bagi membantu skuad berkenaan tampil lebih garang pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram