Aksi longlai lawan Selangor punca pemain import NSFC kena kritik


  • Podium
  • Isnin, 14 Nov 2022

Skuad Jang dijangka kehilangan sebahagian tonggak ketika jendela perpindahan nanti. — Facebook/Negeri Sembilan FC

SELEPAS terikat 2-2 dengan Selangor FC di suku akhir Piala Malaysia, perjalanan Negeri Sembilan FC dalam kejohanan itu terhenti dengan agregat 4-2.

Meskipun beraksi di tempat sendiri, anak-anak buah K Devan terpaksa bergelut apabila serangan bertali arus dilancarkan pihak lawan sepanjang 90 minit permainan.

Selain itu, kekalahan yang dialami ketika aksi pertama di Stadium MBPJ, Selangor menambah beban kepada mereka yang terpaksa melupakan khidmat beberapa tonggak pasukan.

Layangan kad merah kepada pertahanan sasa, Herold Goulon menyaksikan skuad Jang terpaksa menurunkan gandingan yang kurang serasi sehingga mudah ditembusi skuad Gergasi Merah.

Bagaimanapun, perkara itu tidaklah dilihat penyokong sebagai punca di sebalik kekalahan itu apabila rata-rata daripada mereka menunding jari ke arah pemain tengah, Omid Nazari yang kurang menyerlah dalam perlawanan berkenaan.

Pemain kelahiran Sweden itu merupakan antara tonggak pasukan selepas Devan memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk mengawal rentak permainan, lebih-lebih lagi dalam aksi Liga Super.

WhatsApp Image 2022-11-14 at 16.20.30

Omid gagal untuk meraih hati penyokong meskipun kerap beraksi musim ini. Instagram/omidnazari

Namun, keputusan itu dilihat kurang meyakinkan penyokong selepas dia hanya berjaya mencetak satu bantuan gol dalam 20 aksi Liga Super meskipun diturunkan sebagai pemain tengah.

Walaupun segelintir peminat setia skuad Jang berpendapat ia bukanlah satu perbandingan sesuai, statistik berkenaan seakan-akan menyimpulkan sumbangan pemain berjersi no 10 itu buat pasukan.

Kekecewaan itu akhirnya menemui kemuncak apabila prestasinya di atas padang ketika pertemuan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan jelas mengundang 1,001 kritikan.

"Omid (Nazari) itu pada saya dah boleh ditukarkan ketika jendela perpindahan nanti, macam tiada sahaja dalam perlawanan menentang Selangor," kata Shah Rizal.

"Harapnya, ketika jendela perpindahan nanti, Negeri Sembilan FC boleh mendapatkan dua atau tiga pemain lain terutamanya di posisi tengah dan Omid boleh keluar rasanya," kata Kamarul Shahril Kamarudin.

"Kekalkan Omid supaya penyokong Negeri Sembilan sekurang-kurangnya ada tempat untuk luahkan kemarahan sekiranya kalah musim depan," kata Joe Hassan dengan nada gurauan.

Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini dibawa masuk ketika jendela perpindahan awal tahun lalu daripada kelab Filipina, United City FC dalam usaha meningkatkan keupayaan pasukan.

Tetapi, masa depan Omid dilihat semakin kabur bersama skuad Jang dengan juara Liga Perdana 2021 itu dijangka melakukan rombakan kepada pasukan selepas beberapa nama bakal meninggalkan pasukan termasuk Syihan Hazmi dan Khuzaimi Piee. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram