Tiga nama termasuk 2 pemain JDT bakal bantu Tok Gajah 'mengamuk' musim depan


  • Podium
  • Selasa, 15 Nov 2022

Adakah pihak pengurusan akan terus berdiam diri dengan prestasi merudum Tok Gajah? — Facebook/Sri Pahang FC

WALAUPUN jendela perpindahan hanya akan dibuka pada Disember, kebanyakan pasukan dilihat sudah melakukan perancangan awal untuk menambah baik kualiti skuad.

Selain itu, ada juga yang sudah bertindak dengan membawa masuk beberapa pemain seperti Perak FC yang bertungkus-lumus menyambar bakat-bakat muda tanah air.

Bagi sesetengah kelab pula, mereka seakan-akan mengambil pendekatan selamat dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun khabar angin semakin kuat bertiup di dada akhbar dan media sosial.

Antara pasukan yang didapati sedang giat dikaitkan dengan perpindahan ialah Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC yang masing-masing dilaporkan sudah mendapatkan khidmat Syihan Hazmi dan Kuhzaimi Piee dari Negeri Sembilan FC.

Namun, baru-baru ini, timbul satu lagi ura-ura yang mengatakan kelab Liga Super, Sri Pahang FC tidak mahu ketinggalan dalam membawa masuk wajah-wajah baharu untuk musim depan.

Perkara itu adalah kerana skuad Tok Gajah semestinya berhasrat untuk memadam episod gelap tahun ini selepas isu pengurusan dan kejurulatihan menyaksikan pasukan itu menduduki tangga ketujuh liga.

313381781_5736920566368590_6095714523864745769_n

Penyokong Sri Pahang mendambakan perubahan secara besar-besaran ke atas pasukan mereka. Facebook/Sri Pahang FC

Di samping itu, penyingkiran di tangan Terengganu FC dalam saingan Piala Malaysia cukup memalukan dengan agregat 9-3, termasuk kekalahan mengaibkan 1-5 di laman sendiri.

Oleh itu, rombakan pastinya dilaungkan penyokong setia yang dilihat sudah mengenal pasti beberapa kelemahan skuad, terutama di benteng pertahanan.

Untuk rekod, Sri Pahang FC mempunyai isu besar di posisi berkenaan yang dibuktikan apabila mereka dibolosi sebanyak 31 kali dalam 22 aksi Liga Super.

Selain kesilapan secara individu, keampuhan bahagian pertahanan juga difahamkan berpunca daripada pendekatan taktikal ketua jurulatih sementara, Datuk Dollah Salleh.

Jadi, antara pendekatan yang boleh dilakukan untuk membaiki kebolehan pasukan secara menyeluruh adalah dengan membawa masuk beberapa wajah baharu ketika tempoh perpindahan pemain kelak.

Berikut merupakan tiga nama yang difahamkan sudah memilih Sri Pahang FC sebagai destinasi baharu mereka untuk meneruskan karier mereka untuk musim akan datang.

1. Wan Amirul Afiq

Musim ini, dua kelab Liga Super dilaporkan mengalami kemelut kewangan dan pengurusan sehingga menyekat hasrat mereka untuk beraksi dalam format liga baharu pada 2023.

Pasukan tersebut merupakan Melaka United dan Sarawak United dengan kedua-dua pasukan tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian menurut arahan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Rentetan daripada perkara itu, tonggak pasukan diramal bakal meninggalkan kelab masing-masing dalam memastikan karier mereka dapat diteruskan di tahap tertinggi.

Antara pemain yang dikhabarkan tidak memilih untuk kekal ialah pertahanan kanan, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman selepas beberapa kelab difahamkan berminat dengan khidmatnya.

Melaka's Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman heads the ball during the team's training session at the Hang Jebat Stadium. - Picture taken from Melaka's Facebook Page

Wan Amirul Afiq merupakan salah satu tonggak skuad Hang Tuah musim ini. Facebook/Melaka United FC

Dalam skuad Hang Tuah, pemain berusia 30 tahun itu diturunkan secara kerap dengan mengumpul sebanyak 19 penampilan yang majoriti daripadanya merupakan aksi di kesebelasan utama.

Berdasarkan prestasi itu, tidak hairanlah apabila khidmatnya mula ditagih beberapa pasukan Liga Malaysia yang bercita-cita untuk mencari seorang bek kanan.

Sri Pahang FC dilihat sebagai salah satu kelab yang mempunyai masalah di posisi tersebut dengan persembahan Ashar al-Aafiz dan Hasnul Zaim Zafri bukanlah pilihan berkaliber.

Kehadiran Wan Amirul Afiq ke dalam skuad Tok Gajah pastinya mampu membawa perubahan dengan aspek pertahanannya dilihat masih berada di tahap cemerlang sepanjang musim.

Selain itu, sikap keterbukannya untuk meninggalkan Melaka United pasti membuka jalan buat kedua-dua pihak untuk bersetuju demi kebaikan masing-masing.

Persoalannya, mampukah Sri Pahang menyambar khidmat Tumpat, Kelantan itu dengan situasi terkini kelab selain beberapa pasukan lain turut dilaporkan berminat untuk membawa masuknya.

2. Izham Tarmizi

'Masalah' lambakan penjaga gol di JDT dilihat bakal dikeruhkan apabila khabar angin mengatakan mereka sudah berjaya menyambar tonggak Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi.

Perkara itu bakal menyaksikan kapten pasukan, Farizal Marlias diletakkan di bangku simpanan sementara seorang lagi pemain, Haziq Nadzli bakal dihantar ke skuad simpanan.

Tindakan itu dilihat bakal menyaksikan penjaga gol JDT II, Izham Tarmizi perlu mencari pasukan baharu demi kelangsungan kariernya meskipun beraksi dengan cemerlang beberapa musim kebelakangan ini.

Namun, timbul persoalan mengenai destinasi yang sesuai buat pemain berusia 31 tahun itu sekiranya dia berhasrat untuk mencari angin baharu dalam arena bola sepak tempatan.

Skuad Tok Gajah dilihat sebagai salah satu kelab yang dilihat bakal mencari penjaga gol baharu selepas import tinggi lampai, Mamadou Samassa dikhabarkan tidak akan kekal di Stadium Darul Makmur musim depan.

created by inCollage

Adakah Izham bakal meninggalkan Harimau Selatan ketika jendela perpindahan akan datang? Facebook/JOHOR Southern Tigers

Walaupun baru sahaja menyertai awal musim lalu, prestasi tidak konsisten Samassa membakar api kekecewaan dalam kalangan penyokong yang enggan melihat kelibatnya.

Jadi, seorang pengganti pastinya dicari pihak pengurusan dan kejurulatihan dengan menjadikan pengalaman serta kemampuan untuk mengukuhkan lagi kemampuan barisan pertahanan mereka.

Meskipun Izham hanya beraksi di Liga Perdana, kebolehannya sukar untuk dipersoalkan dengan pasukan tersebut merekodkan satu pencapaian terbaik selepas hanya dibolosi sebanyak 13 kali dalam 18 perlawanan.

Oleh itu, juara Piala Malaysia empat kali itu pastinya berhasrat untuk mendapatkan khidmat pemain berpengalaman tersebut meskipun dengan status pinjaman.

Persoalannya, adakah Izham akan terbuka untuk meninggalkan Harimau Selatan selepas dia merupakan antara pemain paling setia berkhidmat setelah menyertai mereka pada 2014.

3. Syazwan Andik

Selepas bertahun-tahun terpaksa akur dengan keputusan pihak pengurusan untuk menurunkannya ke pasukan simpanan, Syazwan Andik akhirnya memilih untuk berkelana ke Melaka United secara pinjaman semusim.

Keputusan itu dilihat serba sedikit membawa perubahan buatnya selepas dia diberi kepercayaan penuh daripada barisan kejurulatihan Hang Tuah sepanjang kempen Liga Super 2022.

Dalam 22 perlawanan, Syazwan diturunkan sebanyak 17 kali dengan kebanyakan daripadanya merupakan aksi daripada kesebelasan utama, sekali gus membuktikan taringnya buat pasukan.

Selain itu, kehadirannya buat pasukan bukan sahaja menambah baik kualiti pertahanan, malah ia turut membantu dari segi serangan apabila pemain berusia 26 tahun itu berjaya menjaringkan satu gol dan dua bantuan kepada rakan sepasukan.

Pencapaian tersebut menunjukkan bekas pemain kebangsaan itu masih mempunyai keazaman dalam kancah bola sepak walaupun Melaka United dihurung pelbagai isu serta masalah.

WhatsApp Image 2022-11-14 at 20.55.24

Wan Amirul Afiq (tengah) beraksi dengan baik dalam skuad Hang Tuah yang bergelut. Facebook/Melaka United FC

Bagaimanapun, masa depannya bersama JDT masih berteka-teki dengan posisi pertahanan kiri sudah diisi Corbin Ong dan Adam Nor Azlin yang terus konsisten sepanjang musim.

Perkara itu pasti membuka ruang kepada beberapa pasukan Liga Malaysia yang lain untuk mendapatkan khidmat Syazwan musim depan selepas potensinya dibuktikan bersama skuad Hang Tuah.

Antara kelab yang mampu menagih khidmat bekas pemain Harimau Muda A itu ialah Sri Pahang FC dengan mereka dilihat ketandusan pilihan di posisi pertahanan kiri.

Musim ini, pemain berusia 30 tahun, Fandi Othman diturunkan secara kerap selepas seorang lagi bek kiri, Azwan Aripin dilihat kurang meyakinkan setiap kali beraksi.

Oleh itu, penambahan Syazwan Andik ke dalam skuad dilihat mampu menyuntik perubahan terhadap skuad Tok Gajah dalam usaha mereka mencabar kejuaraan liga seperti sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram