'Prestasi makin mantul', prospek Sabah FC calon terbaik kubu terakhir Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 17 Nov 2022

Sabah FC kini berdepan tugas getir bagi memadam defisit kelebihan satu gol milik JDT menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia. — Gambar Facebook/JohorSouthernTigers

PENJAGA gawang Sabah FC, Damien Lim mencatat sejarah tersendiri apabila muncul sebagai keeper pertama di Malaysia yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti penyerang berbisa pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022.

Walaupun skuad Harimau Selatan membawa pulang bekalan satu gol selepas menundukkan tuan rumah 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa, namun prestasi yang ditunjukkan pemain berusia 25 tahun itu patut dipuji.

Pada perlawanan tersebut, JDT dilihat lebih menguasai perlawanan dan banyak melakukan asakan dan situasi tersebut menyaksikan pemain berketurunan Cina itu terpaksa bekerja keras untuk menjaga gawang daripada dibolosi lawan.

Damien mula mendapat perhatian dalam kancah bola sepak tempatan setelah mendapat kepercayaan Datuk Ong Kim Swee untuk diturunkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang mengalami kecederaan.

Sejak beraksi dalam kesebelasan utama Sabah, anak saudara kepada bekas penjaga gol kebangsaan, Lim Chuan Chin itu turut membuktikan kecermerlangannya sebagai pertahanan akhir gawang skuad Sang Badak.

Malah, ketangkasan Damien menjaga gawang Sabah FC ketika menentang pasukan lain patut diberi pujian. Dia juga dilihat agresif setiap kali diturunkan sekali gus memberi tekanan yang tinggi kepada pemain lawan untuk menjaringkan gol.

photo_6318784907425460836_y

Penyokong berasakan ketangkasan Damien menjaga Sabah FC ketika menentang pasukan lain patut diberi pujian. — Gambar Facebook/Damien

Percaya dengan prestasi yang dipamerkan oleh pemain berasal dari Selangor itu, peminat skuad Sang Badak berharap agar Damien diberi peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

"Damien Lim...budak ni kalau terus konsisten boleh kena panggil dalam skuad HM. Sangat berbakat," tulis laman Buletin Arena Sabah.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya dibarisi tiga penjaga gol iaitu Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC), Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC) dan Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi (Petaling Jaya City FC).

Menjengah ke ruangan komen halaman Facebook berkenaan, seorang penyokong, Ayaat Azs turut mengharapkan Damien diberi peluang bermain dengan pasukan negara.

"Harimau Malaya dah boleh panggil Damien Lim, penjaga gol terbaik Sabah FC. Respect penjaga Gol Sabah ini, banyak bola yang diselamatkan. Harap masuk skuad Harimau Malaya. Mantap, mantul dan radu tetap radu," katanya.

Sementara itu Ken Chong berasakan mutu permainan pemain muda itu semakin mantap.

"Mutu permainan Damien sebagai penjaga gawang Sabah FC pada masa kini semakin meningkat dan tangkas. Lihat saja sepakan penalti dari penyerang sensasi JDT (Bergson) begitu deras sekali namun dia dapat menyelamat kan gawangnya dari dibolosi," tulisnya.

Bagi Imran Abd, Damien seharusnya diberi peluang sejak dahulu lagi untuk menambah pengalamannya.

"Tahupun dia hebat, konsisten. Selama ni kena perap, pihak kejurulatihan tidak yakin kot dengan kemampuan dia. Terlalu sangat mengharap si Apek, begitu juga pemain-pemain lain dalam bangku simpanan, sekali dua bagi mereka ruang, minit permainan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram