'Kalau Liridon diberi peluang, kenapa De Paula tak boleh?'


  • Podium
  • Sabtu, 19 Nov 2022

KELIBAT pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula semakin kurang kelihatan di atas padang kebelakangan ini. — Facebook/Johor Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) sememangnya memiliki ramai pemain berstatus bintang yang kian menunjukkan prestasi cemerlang dalam setiap perlawanan sama ada dalam liga tempatan mahupun saingan di peringkat antarabangsa.

Kehadiran beberapa nama besar khususnya pemain import dalam pasukan itu nyata memberikan impak positif dalam setiap perlawanan kelab gergasi Harimau Selatan itu.

Situasi itu sekali gus mengakibatkan barisan pemain saling berentap dan bersaing untuk merebut tempat kesebelasan utama dan minit permainan dalam setiap perlawanan.

Mungkin ada tertanya sebab posisi penyerang pasukan itu sering didominasi oleh penyerang import Bergson Da Silva, tetapi tahap prestasi dan jumlah jaringan 29 gol yang diperoleh membuktikan mengapa pemain itu layak diturunkan pada setiap perlawanan.

Situasi itu secara tidak langsung mendatangkan masalah kepada barisan pemain handalan lain yang dilihat semakin kurang membuat penampilan dalam permainan.

Antara yang paling mengundang kerisauan dalam kalangan peminat semestinya penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula apabila pemain itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan daripada beraksi di tengah padang.

Untuk rekod, pemain itu masih belum membuat sebarang penampilan pada musim ini dengan kali terakhir beraksi di atas padang pada musim lalu apabila hanya muncul dalam tiga perlawanan di Liga Super.

Gagal merebut tempat kesebelasan utama mahupun sebagai pemain gantian pada musim ini, situasi itu mencetuskan spekulasi peminat terhadap prestasi pemain itu sekiranya diturunkan dalam skuad kebangsaan.

Susulan itu, ada pihak yang menyuarakan pendapat dan saranan agar pemain berketinggian 1.34 meter itu mengikut jejak langkah seorang lagi pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi yang kini dipinjamkan ke kelab Liga Thai.

Liridon Krasniqi dipinjamkan pada pasukan Khon Kaen United yang beraksi dalam saingan Liga Thai. Facebook/ Khon Kaen United

Tinjauan Majoriti di laman Facebook, rata-rata warganet meluahkan kerisauan dan mengharapkan agar De Paula turut mendapat peluang beraksi di Liga Thai bersama bekas rakan sepasukannya itu.

"Kalau Liridon boleh diberi peluang, kenapa De Paula tak boleh, Liridon sebelum ini dah bermain di liga India dan kini beraksi dalam liga Thai jadi sepatutnya De Paula pun sama dipinjamkan secara kontrak," kata Rawe Rontek.

"Lord Paula sepatutnya dipinjamkan semusim ke negara luar sama ada dalam rantau Asean ataupun di negara Timur Tengah, bagi dia bermain semula macam dulu," jelas IzaDaniiel.

"Sia-sia sahaja dia diberikan status naturalisasi kalau duduk bangku simpanan selalu, baik dia dipinjamkan ke kelab lain kalau bukan di luar negara dalam negara pun tak apa," tambah ArashZai93.

Berdasarkan rekod, Liridon Krasniqi kini dipinjamkan secara kontrak pada kelab Khon Kaen United yang beraksi di liga divisyen satu Liga Thai.

Menyarung jersi bernombor 80, pemain posisi tengah itu berjaya membuat sebanyak enam penampilan dalam perlawanan pada musim ini namun masih belum mencatatkan nama sebagai penjaring setakat ini.

Kini, Khon Kaen United menghuni tangga ke 13 dalam carta kedudukan Liga Thai dengan sembilan mata menerusi lima keputusan seri dan satu kekalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram