SEORANG lelaki didakwa mencuri kad tambah nilai telefon bernilai RM300 di sebuah kedai runcit sekitar Jertih, Besut Terengganu pada Khamis.
Dalam kejadian tersebut, suspek berbaju biru dan bertopi itu terlebih dahulu masuk ke premis berkenaan untuk membeli sesuatu sebelum ke kaunter bayaran bagi mendapatkan kad tambah nilai.
Insiden itu disiarkan pemilik kedai berkenaan dengan harapan orang ramai boleh membantu mengesan suspek,
Berdasarkan rakaman berdurasi 47 saat itu, suspek difahamkan terlebih dahulu meminta kad tambah nilai bernilai RM50 sebelum menambah lagi RM250 ketika kejadian.
Perbuatan itu dipercayai sengaja dilakukan oleh individu terbabit bagi mengalihkan perhatian juruwang tersebut.
Susulan tindakan tersebut, suspek kemudiannya mengambil gambar kesemua kad tambah nilai yang dipesan sebelum membatalkan pesanan dan melarikan diri.
Taktik licik dipamerkan lelaki berkenaan dilihat berjaya memperdayakan juruwang di premis tersebut yang sekali gus mengundang pelbagai kecaman warganet di laman Facebook.
Di ruangan komen, rata-rata warganet mengecam perbuatan lelaki tersebut.
"Pandai betul dia, minta tambah nilai sikit-sikit dulu dan baru tambah kemudian supaya ada masa dia nak ambil gambar kertas resit itu tambahan juruwang pula sibuk ketika itu," kata Nurasyidiisma.
"Sepatutnya kalau beli kad tambah nilai mana boleh bagi pelanggan dulu sebelum buat bayaran, memang kena tipu la kalau juruwang guna cara macam itu," jelas Rose47.
"Aku pun pernah bekerja sebagai juruwang, selalunya kalau orang beli tambah nilai lebih RM20 memang aku akan minta duit dulu sebelum bagi resit," tambah kaorunanami.
Namun, pihak pengurusan premis tersebut belum membuat sebarang laporan polis berhubung kes tersebut dan berharap agar orang ramai yang mengenali suspek tampil membantu mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram