TINDAKAN seorang pemandu kereta jenis Perodua Bezza yang mengikut rapat kenderaan ambulans di laluan sekitar Lapangan Terbang Subang pada Khamis mengundang perhatian ramai.
Kejadian itu difahamkan berlaku ketika kenderaan ambulans itu sedang menuju ke sebuah hospital dalam keadaan laju di laluan berkenaan.
Memiliki keistimewaan di atas jalan raya, pemandu bezza terbabit dilihat mengambil kesempatan apabila mengekori rapat kenderaan ambulans itu dari arah belakang bagi mengelak daripada kesesakan lalu lintas.
Situasi itu sekali gus mengundang padah kepada pemandu terbabit apabila dia diberikan amaran dan kecaman oleh pemandu ambulans tersebut.
Berdasarkan rakaman tular itu, pemandu Bezza terbabit dilihat berjaya melepasi kesesakan lalu lintas di situ selepas memotong ambulans itu ketika jalan mula lancar.
Melaungkan amaran menerusi pembesar suara, pemandu ambulans berkenaan difahamkan mengarahkan kenderaan bezza itu untuk ke hospital bersama-sama.
Meskipun ia kedengaran seperti satu gurauan, namun situasi itu nyata mengundang pelbagai kecaman daripada warganet di Facebook.
"'Tak reti sabar dan terlalu pentingkan diri, pemandu macam ini memang patut kena sama je terus tak payah bagi amaran," kata Md Diraudin.
'"Bagus ambulans itu marah dia guna pembesar suara, bagi dia malu sekurang-kurangnya nombor pendaftaran keretanya dah terpampang dalam video itu, tunggu laporan polis je," jelas JzzyJaafar.
"Yang boleh ikut di belakang ambulans selalunya keluarga ataupun waris pesakit, kalau bukan jangan la ikut macam tak ada undang-undang pula dia buat," tambah Azroy roy.
Namun, belum ada sebarang laporan polis dilaporkan berhubung kejadian tersebut dan pemandu Bezza itu dilihat beredar dari lokasi berkenaan tidak lama selepas insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram