The Cats tidak rela Shafizi Iqmal 'bersatu' dengan Teong Kim di Perak FC


  • Podium
  • Isnin, 14 Nov 2022

Shafizi baru semusim dengan Kuching City namun sudah disayangi peminat di sana. — Facebook/ Kuching City FC

KEHADIRAN ketua jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim di bumi Perak bagaikan tarikan magnet buat pemain-pemain muda dari kelab-kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk menyertai skuad di bawah kepimpinannya.

Sesuai dengan falsafah yang dipegangnya, pengendali berusia 59 tahun tersebut pernah mendedahkan bahawa dia akan memberi lebih tumpuan kepada pemain muda tempatan berbanding import.

Terdahulu, Perak FC mengumumkan kehadiran dua pemain muda berbakat, Harith Naem dan Ilham Aqil selepas masing-masing dibawa masuk dari Melaka United dan skuad Projek FAM-MSN.

Penyerapan kedua-dua bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam projek Perak FC menyatukan semula Lim Teong Kim dan bekas anak buahnya sekali gus menjanjikan keserasian dalam pasukan Perak FC musim hadapan.

Harith yang juga merupakan bekas pemain Melaka United FC (MUFC) difahamkan akan bermain di posisi tengah manakala bekas pemain muda UITM FC dilihat bakal berperanan sebagai pemain sayap dalam pasukan.

Semenjak itu, pelbagai nama pemain muda mula dikaitkan dengan Perak FC sehingga menyebabkan peminat bola sepak tempatan menyamakan skuad Seladang dengan pasukan Eropah, Arsenal yang turut dilimpahi dengan barisan pemain muda.

Teong Kim mahu menumpukan pada pemain muda tempatan berbanding pemain import. Perak footballclub

Terbaharu, pemain muda Kuching City, Shafizi Iqmal Md Khirudin dikhabar menjadi pilihan Teong Kim untuk mengisi bahagian jentera serangan skuad bimbingannya pada musim depan.

Namun, prestasi cemerlang pemain berusia 23 tahun berkenaan membuatkan peminat-peminat di Borneo berat untuk melepaskan pemain yang banyak memberi sumbangan kepada pasukan tersebut musim ini.

Menerusi laman Kuching City FC Fans Official, penyokong The Cats, Azizi Zulkarnain Zizie mahu pengurusan segera mengikat pemain kelahiran Selangor tersebut dengan segera agar tidak disambar oleh pasukan Perak.

"Aduh Shafizi nak ke Perak pulak, dahlah dia ni main bagus. Harap-harap Kuching City tidak akan lepaskan dia. Walaupun rumours je, harap tak jadi," katanya.

Cathy Ulis menambah: "Kekal sahajalah dengan Kuching City. Kita pun dah layak untuk main Liga Super kan? Tak payah ke Perak FC."

"Pengurusan perlu tangkas! Nanti terlepaskan susah. Bukan senang mahu cari penyerang yang ada bakat. Pasukan lain pun asyik tumpul di bahagian serangan," ujar Pison Anit.

Sebagai rekod, Shafizi yang merupakan bekas pemain Selangor FC menyertai Kuching FC pada awal musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram