Pengendali paling senior Liga-M akhirnya buat pusingan U


  • Podium
  • Khamis, 29 Sep 2022

Irfan Bakti berjaya membimbing pasukan berpengkalan di Sarawak itu ke tempat ketiga Liga Perdana.

AWAL tahun lalu, ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim mengumumkan bahawa 2022 merupakan tahun akhir buatnya sebagai jurulatih selepas hampir 26 tahun dalam bidang itu.

Bekas pengendali Terengganu FC dan Felda United FC itu berjaya menempa nama sebagai salah seorang yang serba boleh apabila berjaya membawa kejayaan buat beberapa pasukan.

Kejayaannya untuk mengheret skuad Sang Penyu pada 2011 ke dua perlawanan akhir dengan Piala FA menjadi milik pasukan itu membuktikan kebolehan Irfan Bakti.

Pengumuman yang dibuat figura berusia 71 tahun ini juga bagi membuka jalan kepada pengendali lebih muda dalam Liga Malaysia.

Namun, ketika ditanya Majoriti berkaitan persaraannya, Irfan Bakti bagaimanapun mendedahkan hasratnya untuk tidak menamatkan karier dalam bidang kejurulatihan selepas melihat peluang untuknya masih terbuka.

irfan-bakti-abu-salim

Terengganu FC merupakan salah satu destinasi buat karier 26 tahun Irfan Bakti. Stadium Astro

"Sebelum ini, memang niat saya hendak bersara pada hujung musim ini, tetapi saya baru sahaja menamatkan kursus pengambilan lesen Pro A baru-baru ini.

"Lagipun, pihak pengurusan Kuching City FC ada meminta supaya saya kekal, jadi saya kekal walaupun saya sudah berumur ketika ini," katanya kepada Majoriti.

Jelas jurulatih kelahiran Pulau Pinang itu, perancangan awal yang dibuat adalah untuk menamatkan kursus pengambilan lesen selewat-lewatnya pada 2020 namun, penularan wabak Covid-19 menghalang hasratnya itu.

"Sepatutnya, lesen itu sudah saya ambil pada 2020, tetapi apabila diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sendiri tidak boleh meneruskan kursus itu.

"Jadi, saya rasa, alang-alang sudah menamatkan lima modul itu, saya hendak sekurang-kurangnya menggunakan lesen itu buat semusim sebelum menamatkan khidmat," katanya.

Tambahnya, dia tidak mahu melanjutkan karier kejurulatihan terlalu lama dan hanya mengganggap musim depan merupakan tahun terakhir sebagai pengendali.

Musim ini, Kuching City FC berada di kedudukan ketiga liga selepas mengharungi kempen yang lebih bergaya apabila menamatkan musim lalu di tempat kelima.

Pasukan itu selepas ini akan beraksi di samping 17 lagi pasukan selepas pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan terdapat perubahan struktur dan format liga.

Dalam masa sama, Irfan turut berkongsi bahawa lesen kejurulatihan Pro A merupakan satu keperluan buat setiap pengendali dalam membimbing sesebuah pasukan musim depan.

"Mungkin, beberapa tahun lagi, kesemua jurulatih sehingga di liga bawahan juga memerlukan lesen di tahap itu bagi membolehkan mereka berkhidmat dalam Liga Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram