Liga Super belum tamat, undian Piala Malaysia beri ‘hint’ perlawanan sengit


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

KL City FC berjaya muncul sebagai juara Piala Malaysia selepas menewaskan JDT. — Astro Awani

DENGAN perlawanan Liga Super yang belum berakhir, slot kedudukan Piala Malaysia diisi bagi menghangatkan kejohanan berprestij tersebut.

Kejohanan Piala Malaysia kali ke-101 itu lebih menarik apabila format baharu diperkenalkan iaitu pusingan kalah mati melibatkan 16 pasukan secara timbal balik.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu dicapai selepas mengambil kira beberapa faktor seperti kepadatan kalendar semasa dan ramalan cuaca sebagai usaha memendekkan tempoh kejohanan itu.

Lebih dramatik lagi, kejohanan tahun ini menyaksikan pasukan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, Melaka United gagal melayakkan diri berikutan masalah gaji dan digantikan dengan pasukan tercorot Liga Super, Penang FC.

Screenshot 2022-10-06 at 5.35.18 PM

Undian Piala Malaysia menyaksikan beberapa pertembungan menarik.

Harimau Kumbang ibarat mendapat nafas baharu apabila disahkan mengisi slot TM Piala Malaysia 2022 selepas isu menimpa pasukan Melaka.

Pemenang Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) akan bertemu pasukan yang berada di tangga kesembilan (LS9) Liga Super.

Manakala juara bertahan Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) yang berada di kedudukan kelima (LS5) buat masa ini akan memulakan langkah berdepan Kelantan United FC jika mampu mengekalkan posisi mereka selepas tamat 22 perlawanan.

Lain-lain undian memperlihatkan Kuching City FC bakal menjadi pelawat terlebih dahulu kepada pasukan dari tangga ke-11 manakala UiTM FC diundi berdepan pasukan yang akan menduduki tangga ketiga Liga Super (LS3).

Naib juara Liga Perdana, Kelantan FC, akan menentang pasukan di tangga ke-10 Liga Super (LS10) sementara pasukan di tangga kelapan Liga Super (LS8) berdepan pasukan di tangga keempat Liga Super (LS4).

Melengkapkan dua lagi pertemuan ialah PDRM FC akan melawan pasukan di tangga keenam Liga Super (LS6) manakala pasukan di tangga ketujuh Liga Super (LS7) menentang naib juara Liga Super (LS2).

Majlis undian itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam dan bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam manakala Eksekutif Perundangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Muhd Alif Muhd Fadzil menjadi saksi kepada proses undian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram