Pertahanan Selangor dilabel lubuk lawan, fans harapkan sesuatu menjelang aksi separuh akhir Piala Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 14 Nov 2022

Keputusan seri sudah cukup untuk memastikan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia milik Selangor FC. — Facebook/Selangor FC

KEPUTUSAN seri 2-2 antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC sudah cukup buat skuad Gergasi Merah untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-2.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong di tempat lawan, anak-anak buah Tan Cheng Hoe berjaya menonjolkan aksi bergaya dengan terus mengasak kubu skuad Jang.

Hal itu dibuktikan apabila mereka tidak menggunakan bekalan dua gol pada aksi pertama sebagai alasan untuk tidak turun secara agresif dalam menempah slot ke separuh akhir pertama kali sejak 2019.

Tidak cukup dengan itu, kesemua pemain yang beraksi ketika pertembungan tersebut juga dilihat mengerah keringat dengan bersungguh-sungguh selepas memulakan musim dengan kurang cemerlang.

Namun, bagi penyokong pula, mereka kurang berpuas hati dengan salah seorang tonggak pasukan selepas dilihat terlalu mudah ditewaskan pemain lawan.

Pertahanan kanan, Quentin Cheng dikatakan kurang menyerlah dalam perlawanan tersebut apabila gagal menyekat serangan bertali arus daripada pasukan kendalian K Devan.

315154345_561095836022149_883998771594886784_n

Quentin Cheng (kiri) dilihat bergelut untuk menyekat asakan pihak lawan. Facebook/Selangor FC

Manakan tidak, pemain berusia 22 tahun itu menggalas tanggungjawab besar untuk mengawal gerak geri penyerang import, Matheus Alves yang turut dibantu Zamri Pin Ramli.

Tetapi, untuk penyokong Gergasi Merah, mereka tidak melihat ia sebagai satu alasan apabila dia kerap meraih minit permainan sepanjang Liga Super musim lalu serta kempen Piala Malaysia kali ini.

Perkara itu diluahkan seorang penyokong bola sepak tempatan, Irwan Mohd Rasid yang kurang berpuas hati dengan aspek pertahanan Cheng yang kerap melakukan kesilapan mudah.

"Malam ini (Sabtu), Quentin Cheng tidak beraksi dengan baik kerana kedua-dua gol Negeri Sembilan hadir daripada kiri pasukan lawan yang dijaga Quentin Cheng.

"Saya harap barisan kejurulatihan dapat kembalikan semula prestasi pemain itu ke tahap sebenar pada perlawanan akan datang," katanya.

Perkara itu dipersetujui beberapa penyokong lain termasuk Rosli Aman yang hanya berpuas hati dengan hantaran lintang tetapi tidak kaedah pertahanannya.

"Quentin itu pada saya seperti tidak bermaya. Dia mungkin mampu membuat serangan dengan baik tetapi bertahan dan buat hantaran mudah, memang mengecewakan," katanya.

Bagi Shah Rizeman pula, dia melihat Quentin perlu bersikap lebih tenang ketika bertahan sekiranya mahu beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan selepas ini.

"Pada saya, Quentin main OK secara keseluruhannya. Cuma, dia sedikit gopoh dalam kotak penalti kerana kesilapan itu akan memakan dirinya," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan, pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia itu menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Jang yang disempurnakan Matheus Alves.

Kesilapan itu sedikit sebanyak membawa kekecewaan kepada penyokong yang gusar akan kemampuan Selangor FC untuk mara, lebih-lebih lagi apabila beraksi di tempat lawan.

Bagaimanapun, juara 33 kali Piala Malaysia itu tidak mudah menyerah kalah sehingga wisel penamat dengan terus fokus serta bersemangat dalam meneruskan kemaraan mereka.

Selangor bakal menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Rabu ini sebelum bertandang ke tempat lawan untuk aksi timbal balik pada 21 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram