KELAB Indonesia, Persis Solo pada Selasa mengumumkan mereka mengadakan sesi latihan di fasiliti kepunyaan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan simpanan dari selatan tanahair itu pada Sabtu.
Perkara itu diumumkan oleh Persis menerusi laman media sosial rasmi pasukan, di mana mereka menerima jemputan Pengarah Teknikal Harimau Selatan, Alistair Edwards pada 4 November lalu.
Perlawanan persahabatan itu disambut baik oleh penyokong bola sepak tanah air, namun apa yang menarik perhatian adalah sikap segelintir peminat fanatik bola Indonesia yang dilihat memperlekehkan kemampuan pemain JDT II .
Komen-komen negatif yang dilemparkan penyokong kelab Indonesia di laman sosial media itu seolah-olah memandang rendah kebolehan pasukan simpanan Harimau Selatan itu yang tidak mampu menyaingi pasukan Persis Solo.
Antara komen-komen penyokong Indonesia tentang JDT II
Perkara itu dikongsikan menerusi laman Facebook JDTFC dengan memuat naik beberapa komen sejak pengumuman perlawanan persahabatan itu dibuat.
"Komen-komen netizen Indonesia mengenai JDT bakal menurunkan skuad kedua menentang Persis Solo 12 November ini," tulisnya.
Bagi penyokong bola sepak tempatan, Azlee Ahmad komen-komen oleh fanatik dari seberang itu melucukan kerana mereka ibarat tidak pernah mengetahui kejayaan pasukan JDT II.
"Abaikan komen negatif mereka. Jangan sampai aku 'sekolahkan' satu-satu baru mereka sedar betapa hebatnya pemain JDT. Entah-entah hantar Fernando Rodriguez seorang pun mereka boleh kalah," katanya sambil menunjukkan emoji ketawa.
Malah, Nurnazurah Binti Imran turut meminta penyokong dari seberang jangan terlalu memandang rendah pada pasukan JDT II kerana skuad itu mempunyai kehebatannya tersendiri.
"Dia tak tahu itu, kalau turunkan skuad kedua sekali pun akan kena 'bantai' juga," katanya.
Aksi pemain JDT II ketika menentang Selangor II pada September lalu.
Sementara itu, Hafeez Nazmi berkata pemilihan pasukan menentang Persis Solo itu tidak patut dipersoalkan kerana ubi-ubi muda Harimau Selatan juga tidak kurang hebatnya.
"Takkan hari Jumaat lawan Kelantan FC esoknya lawan Persis Solo guna skuad yang sama. Sebab itulah JDT ada skuad besar supaya kelab boleh membuat pilihan pemain mengikut perlawanan tersebut. Bukan soal first team atau second team, " ujarnya.
Bagi Johan Nazri pula, dia turut beranggapan kehebatan pasukan JDT II tidak harus dipertikaikan.
"Macam saya nak juga JDT guna skuad utama lawan Persis Solo tapi tidak dapat dielakkan. Nak atau tidak memang JDT II yang kena hadap. JDT II pun bukan biasa-biasa," katanya.
Musim ini, pasukan kendalian Mariano Echeverría berjaya menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan teratas dengan membariskan pemain berkualiti, termasuk Daryl Sham dan Ramadhan Saifullah.
Untuk rekod, JDT II dinobatkan juara Liga Perdana buat kali pertama selepas menewaskan Selangor II 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium UiTM, Selangor pada September lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram