'Kota Rom tak dibina sehari', pesta gol di Singa Cup 2022 bukti kualiti ubi muda JDT


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Skuad B12 merangkul gelaran juara setelah meraih kemenangan 5-0 ke atas Gators FC.

STATUS Johor Darul Takzim (JDT) sebagai pasukan gergasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sememangnya tidak dapat disangkal terutama apabila skuad Harimau Selatan itu masih lagi tidak mampu dicabar mana-mana pasukan setakat ini.

Namun, kejayaan kelab dari Selatan tersebut sering kali dikaitkan dengan kemampuan pemilik kelab, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim 'memborong' pemain-pemain import terutama dari Amerika Selatan bagi menguatkan pasukan mereka.

Selain itu, juara Liga Super sembilan kali tersebut turut dikatakan gemar merekrut semula pemain-pemain tempatan yang terlebih dulu digilap di kelab-kelab lain sebelum mencipta nama bersama JDT.

Ini menimbulkan persoalan mengenai kemampuan bumi Johor melahirkan bakat-bakat bola sepak terutama selepas skuad Sukma Johor, yang diwakili JDT III, terkandas apabila misi mereka tamat di peringkat suku akhir temasya tersebut.

Skuad JDT B12 menewaskan wakil Thailand dengan kemenangan 4-0. —Facebook/ JDT

Namun, kejayaan pasukan JDT B12 merangkul gelaran juara Juara Singa Cup 2022 pada Khamis secara tidak langsung menyangkal dakwaan tersebut.

Sebagai rekod, skuad B12 JDT menewaskan pasukan wakil dari Thailand, Anusorn FC dengan kemenangan 4-0 dalam aksi separuh akhir sebelum terus megah berpesta gol dengan keputusan 5-0 pada perlawanan akhir menentang satu lagi wakil tempatan, Gators FC.

Bukan itu sahaja, skuad belia JDT turut meledak 37 gol dan hanya bolos satu gol dalam tujuh penampilan mereka pada kejohanan yang berlangsung di The Cage Sport Park, Singapura itu.

Kejayaan demi kejayaan yang dicipta oleh skuad muda JDT membuktikan perancangan untuk meningkatkan kualiti akar umbi di JDT membuahkan hasil yang baik.

Ini juga boleh melahirkan ramai lagi bakat baharu pada masa depan sukan bola sepak negara.

Skuad JDT B12 berpesta gol dengan 5-0 pada perlawanan akhir menentang pasukan Gators. Facebook/ JDT

Melihat perkembangan terbaharu tersebut, para penyokong pasukan Harimau Selatan, Chua Heng berharap satu hari nanti pasukan senior skuad tersebut mampu dibarisi pemain-pemain tempatan.

"Sangat membanggakan. Ini membuktikan kualiti ubi muda JDT. Harap-harap lepas ini sudah tak ada suara sumbang yang mengatakan JDT hanya bergantung pada import," katanya.

"Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari. Insya-ALLAH dengan fasiliti dan latihan yang bertaraf antarabangsa, akan datang budak-budak inilah yang bakal main untuk skuad senior. Ini baik juga untuk masa depan skuad kebangsaan," jelas Malique Adwan.

Brader Steen Stones menambah: "Bagus ubi Johor! Hilang terus 'haters' dari radar." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram