JDT|GBX Esports dinobat Raja Asia, kini sasar ranking 10 terbaik dunia


  • eSports
  • Sabtu, 12 Nov 2022

JDT|GBX Esports akan menampilkan pemain terbaik kategori FIFA di rantau ini bagi musim 2022/23.

PASUKAN GBX Esports sekali lagi berjaya mengangkat nama Malaysia apabila ditempatkan dalam ranking 14 pasukan esports terbaik di dunia.

Namun pada musim ini, GBX Esports akan berkolaborasi bersama juara sembilan kali Liga Super iaitu Johor Darul Takzim (JDT) sekali gus dijenamakan sebagai JDT|GBX Esports.

Bagi musim ini, JDT|GBX Esports mensasarkan untuk berada di dalam kedudukan 10 terbaik di dunia.

JDT juga merupakan satu-satunya kelab bola sepak dari Liga Super Malaysia yang menyertai kejohanan antarabangsa iaitu FIFAe Club Series 2023 dan eFootball International Cup menerusi JDT|GBX Esports.

Bukan sahaja berjaya menempatkan diri di antara kelompok 20 pasukan esports terbaik dunia, JDT|GBX Esports juga turut memegang takhta pasukan terbaik di rantau Asia.

1809073

JDT merupakan satu-satunya kelab bola sepak Liga Super Malaysia yang menyertai kejohanan antarabangsa FIFAe Club Series 2023 dan eFootball International Cup.

Menurut Pengasas GBX Esports, Suki Lee, 32, dia beryukur atas hasil usaha pasukan yang menunjukkan komitmen positif sepanjang kejohanan FIFA 22 pada musim lalu.

"Alhamdulillah segala usaha yang kami pamerkan ketika musim FIFA 22 dibuktikan dengan kami memperolehi ranking di tempat ke-14 terbaik dunia.

" Bagi saya tidak ada kejayaan yang akan datang tanpa adanya usaha dan dedikasi semua pihak yang terlibat. Saya yakin, kerjasama yang ditunjukkan oleh pemain dan pihak pengurusan menjadi asbab utama kejayaan kami merangkul gelaran Raja Asia," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, JDT|GBX Esports sedang giat menjalani latihan bagi memperkemaskan taktikal bagi menghadapi kejohanan yang akan datang dan sedang berusaha melonjakkan kedudukan di pasukan di ranking dunia.

"Latihan demi latihan sedang giat dijalankan bagi melatih para pemain untuk lebih bersedia bagi menghadapi kejohanan yang bakal tiba.

"FIFAe Club Series merupakan salah satu platform yang mana pasukan JDT|GBX Esports mampu untuk melonjakkan kedudukan di ranking dunia sekiranya berjaya memenangi pusingan kelayakan pada awal tahun hadapan dan layak ke pusingan Play-Off," jelasnya lagi.

Screenshot 2022-11-11 at 21-38-02 FIFA 23 Release time & date crossplay new features more

Kejohanan FIFAe Club World Cup 2023 menawarkan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM1.4 juta (USD 300,000). Agensi

Menurut Suki, gelajaran yang dikecapi JDT|GBX Esports memberikan satu bebanan buat pasukan namun pemain-pemain dan pihak pengurusan memandangnya dari sudut positif

"Sememangnya gelaran itu akan memberikan sedikit impak, akan tetapi kami memandang perkara sebegini dari sudut positif kerana kami tahu kualiti yang dimiliki pemain dan juga pasukan.

"Terima kasih kepada anda yang tidak pernah putus asa menyokong JDT|GBX Esports. Teruskan menyokong kami, dan semestinya kami akan cuba menggapai kejayaan yang lebih pada musim baharu," ujarnya lagi.

JDT|GBX Esports akan menyertai kejohanan FIFAe Club Series 2023 bermula 17 November 2022 sehingga 12 Mei 2023 dan kejohanan ini merupakan peringkat saringan bagi kejohanan FIFAe Club World Cup 2023.

Kejohanan FIFAe Club World Cup 2023 menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM1.4 juta (USD 300,000) ia merupakan salah satu kejohanan rasmi dunia di bawah kelolaan badan bola sepak dunia, FIFA di bawah divisyen esports mereka iaitu FIFAe. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram