SSI medan pemain muda Kelantan tunjuk skil, 2 nama dipetik coach Rezal


  • Podium
  • Selasa, 08 Nov 2022

Shamil (kiri) berkemungkinan tidak akan diturunkan dalam perlawanan menentang di SSI. — Facebook/TRW

INSIDEN membabitkan pemain sayap Kelantan FC, Jasmir Mehat pada perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu lalu menyebabkan skuad The Red Warriors (TRW) tidak dapat menggunakan khidmat tonggak berkenaan.

Perlawanan yang berakhir dengan keputusan 0-3 itu menyaksikan skuad Harimau Selatan membawa bekalan selesa bagi pertemuan seterusnya pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri nanti.

Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu, Jasmir dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain JDT ketika minit-minit akhir perlawanan.

Ketiadaan pemain itu sedikit sebanyak merencatkan rancangan ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya untuk memperoleh mata dan sekali gus cuba melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Bukan sahaja kehilangan tonggak sayap itu, malah Kelantan FC juga berkemungkinan tidak dapat menurunkan penyerang berbisa, Nurshamil Abd Ghani.

rezal

Rezal Zambery akan memberi peluang kepada pemain muda dan simpanan untuk perlawanan di SSI. — Facebook/TRW

Berdasarkan laporan Majoriti sebelum ini jurulatih berusia 44 tahun itu berkata, dia akan melihat dahulu perkembangan Shamil sebelum memutuskan jika pemain itu boleh diturunkan.

Bagaimanapun, bagi jurulatih kelahiran Johor itu mengatakan bahawa ketiadaan dua tonggak berkenaan sebenarnya memberi peluang kepada pemain muda dan simpanan.

Rezal Zambery berkata, perlawanan menentang di SSI itu boleh memberi pengalaman kepada pemain muda untuk menajamkan lagi bakat mereka.

“Persiapan Kelantan berjalan macam biasa, ramai pemain yang tak dapat beraksi sebab penggantungan.

“Pada saya, ia akan beri ruang dan peluang kepada pemain lain supaya menimba pengalaman ketika berdepan JDT. Pengalaman itu berguna untuk mereka lagi-lagi tahun depan Kelantan bakal beraksi Liga Super,” katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, pemainnya perlu menyedari terdapat perbezaan antara Liga Perdana dan Liga Super serta peluang di Piala Malaysia adalah untuk menimba pengalaman.

Screenshot 2022-11-07 at 8.58.48 PM

Adam Nadzmi antara pemain yang akan diberikan peluang oleh Rezal Zambery. — Facebook/TRW

“Untuk beraksi Liga Super, pemain-pemain perlu menyedari bahawa ada beza permainan antara Liga Perdana dan Liga Super.

“Ini sebagai persediaan untuk mengetahui suasana kekuatan Liga Super musim depan,” tambahnya.

Penyerang, Alifh Aiman dan tonggak pertahanan, Adam Nadzmi antara yang akan diberi peluang dalam perlawanan menentang JDT pada 11 November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram