Tonggak TFC, Pahang antara 4 pemain bakal melangkah ke JDT


  • Podium
  • Selasa, 08 Nov 2022

JDT pastinya bercita-cita untuk meningkatkan kemampuan skuad mereka musim depan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SELEPAS terpalit dengan masalah kibaran Jalur Gemilang di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Darul Takzim (JDT) tampil menjelaskan perkara itu menerusi satu kenyataan rasmi pada Isnin.

Perkara itu dikeluarkan Pengarah Teknikal, Alistair Edwards yang berkata, kelab selatan tanah air itu bakal melantik seorang bekas anggota tentera sebagai Ketua Keselamatan Stadium.

"Susulan titah daripada pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, JDT akan melantik seorang bekas anggota tentera sebagai Ketua Keselamatan Stadium.

"Keputusan itu adalah untuk menyelia kesemua perkara berkaitan keselamatan, termasuk mengurus dan melatih para marshal," katanya berdasarkan kenyataan itu.

Namun, di sebalik pengumuman itu, terselit satu perkhabaran lain yang berjaya menarik perhatian penggemar bola sepak tempatan kerana ia dilihat bakal mengukuhkan lagi prestasi pasukan tersebut.

312614892_2435972029899415_5420622887627660003_n

JDT dikhabarkan bakal membawa masuk empat pemain baharu dengan tiga daripadanya berstatus import. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Berhubung dengan pemain baharu, kelab telah mengenal pasti empat pemain baharu dengan tiga pemain luar negara dan seorang tempatan," katanya.

Berita itu semestinya membangkitkan pelbagai tanda tanya, lebih-lebih lagi dalam kalangan penyokong tegar Harimau Selatan apabila mereka bakal beraksi dalam kejohanan Liga Juara-juara AFC (ACL) musim depan.

Musim ini, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu berjaya melepasi peringkat kumpulan sebelum disingkirkan di peringkat 16 pasukan oleh wakil Jepun, Urawa Red Diamonds.

Oleh itu, mereka pastinya berharap untuk mara dengan lebih bergaya musim depan walaupun menyedari terdapat cabaran besar daripada kelab-kelab gergasi serata Asia.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak disertai sebarang pentunjuk dengan anak-anak buah Hector Bidoglio sedang memberi sepenuh tumpuan dalam saingan Piala Malaysia.

Selain itu, jendela perpindahan hanya akan dibuka pada hujung tahun ini, di mana tempoh tersebut pastinya digunakan kelab-kelab Liga Malaysia untuk memperkukuhkan skuad mereka.

Tetapi, jangkaan boleh dilakukan penyokong untuk melihat wajah-wajah tempatan dan import yang mampu dibawa masuk bagi menyertai skuad Harimau Selatan musim depan.

Berikut merupakan nama-nama yang disenarai pendek Majoriti berdasarkan kemampuan dan kelemahan setiap posisi serta mencari pemain sesuai dengan kelebihan tersendiri.

1. Endrick Dos Santos

Sebelum ini, pemain Penang FC, Endrick dos Santos pernah dikaitkan dengan penghijrahan ke selatan tanah air selepas jendela perpindahan kedua Liga Malaysia ditutup Jun lalu.

Perkara itu dikuatkan lagi apabila dia tidak diturunkan ketika kedua-dua pasukan bertembung dengan laporan mengatakan pemain itu mengalami kecederaan.

Namun, perkhabaran yang mengaitkan kedua-dua pihak sekali lagi timbul dengan pemain berusia 27 tahun itu dikatakan tidak akan menyambung kontraknya bersama skuad Harimau Kumbang.

Musim ini, Endrick boleh dikatakan antara tonggak pasukan apabila berjaya mengumpul satu gol dan tiga bantuan gol dalam 14 aksi Liga Super.

WhatsApp Image 2022-11-07 at 21.36.26

Endrick merupakan antara pemain terbaik buat Harimau Kumbang musim ini. Instagram/endricksantos

Pencapaian itu sudah cukup untuk mencuri perhatian barisan kejurulatihan JDT yang pastinya tidak teragak-agak untuk menajamkan lagi barisan serangan mereka.

Selain itu, terdapat juga perkhabaran bahawa Endrick bakal menerima status naturalisasi yang membolehkannya didaftar sebagai pemain tempatan, sekali gus membuka ruang untuk membawa import lain.

Bagaimanapun, masa depan pemain dengan ketinggian 1.82meter itu dalam landskap bola sepak tempatan masih samar-samar apabila dia masih mampu mencari angin baharu di Eropah mahupun Amerika Selatan.

2. Syihan Hazmi

Selepas beberapa tahun beraksi bersama JDT dan Harimau Malaya, kredibiliti dan kemampuan penjaga gol senior, Farizal Marlias mula dipersoalkan penyokong.

Di samping gagal untuk melakukan tangkapan kemas, pemain tinggi lampai itu juga sering melakukan kesilapan sehingga merugikan pasukan dan mendatangkan perasaan kurang senang dalam kalangan fans.

Oleh itu, tercetus beberapa pandangan di media sosial yang dilontarkan peminat tegar Harimau Selatan untuk menggantikan penjaga gawang itu dengan seorang yang lebih berkualiti.

Syihan-Hazmi-1

Syihan merekodkan tujuh 'clean sheets' dalam 22 aksi Liga Super. Facebook/Negeri Sembilan FC

Antara nama yang dikatakan mampu menggantikan Farizal untuk satu tempoh yang panjang ialah pertahanan terakhir Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi Mohamed.

Kemampuan dan prestasinya musim ini berjaya mencuri tumpuan ramai selepas dia mengharungi sebanyak tujuh perlawanan Liga Super tanpa dibolosi dalam 22 perlawanan.

Ketika ini, persembahannya dalam Piala Malaysia bersama skuad Jang berjaya menerima pujian ramai dengan dia dikatakan sebagai antara punca pasukan itu berjaya mara ke suku akhir.

Namun, kebelakangan ini, khabar angin itu semakin kuat bertiup dengan jendela perpindahan semakin hampir selain kesukaran Negeri Sembilan untuk menepis segala percubaan untuk mendapatkan khidmat Syihan.

Di samping itu, prospek untuk beraksi di pentas Asia pastinya sukar ditolak pemain berusia 26 tahun itu dengan skuad kendalian K Devan gagal menamatkan saingan liga di tangga dua teratas.

3. Manuel Hidalgo

Kegoyahan di atas padang yang ditunjukkan Sri Pahang FC tidak menghalang pemain sayap lincah, Manuel Hidalgo untuk melonjakkan reputasinya bersama pasukan.

Tujuh gol dan 10 bantuan dalam 20 aksi Liga Super berjaya meletakkan nama Hidalgo dalam kalangan penyerang paling berbisa musim ini, setanding dengan Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim.

Prestasinya itu pasti berjaya dihidu kelab-kelab gergasi Liga Super, termasuk JDT juga berhasrat untuk menggunakan kehadirannya untuk digilirkan dalam setiap perlawanan.

Pemain kelahiran Argentina itu pasti terbuka untuk menyertai skuad Harimau Selatan apabila dia dilihat sedikit kecewa dengan kedudukan akhir pasukannya.

313975525_5733138923413421_5510596682842408391_n (1)

Reputasi Hidalgo bersama Sri Pahang menerima pujian menggunung peminat bola sepak tempatan. Facebook/Sri Pahang FC

Kegagalan untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga lima teratas sudah cukup mengecewakan, namun diburukkan lagi dengan penyingkiran memalukan di peringkat 16 pasukan Piala Malaysia kepada Terengganu FC.

Selain itu, Hidalgo yang baru sahaja berusia 23 tahun pastinya mencuri tumpuan dengan sumbangannya bersama sesebuah pasukan mampu dikekalkan buat satu tempoh yang panjang.

Namun, persoalannya, mampukah pemain bersusuk kecil itu dipancing JDT apabila dia pasti memahami penghijrahan itu bermaksud aksinya bakal terbatas dengan lambakan penyerang sayap di kelab itu.

4. Pape Diakite

Musim ini, JDT merekodkan satu lagi pencapaian membanggakan apabila mereka membuktikan keutuhan barisan pertahanan dengan hanya dibolosi 12 kali dalam 22 aksi liga.

Perkara itu dilihat sebagai satu peningkatan berbanding beberapa musim kebelakangan ini, sekali gus membolehkan mereka tidak mencatatkan sebarang kekalahan.

Namun, prestasi itu gagal untuk diulang di pentas ACL selepas mereka gagal menyekat serangan bertali arus lawan sehingga mereka dibolosi sebanyak lima kali ketika pertemuan dengan Urawa Red Diamonds.

Pihak pengurusan pastinya berharap untuk menambah baik kemampuan benteng pertahanan dengan membawa seorang import kental dan berpengalaman luas.

WhatsApp Image 2022-11-07 at 21.31.06

Mampukah Terengganu mengekalkan khidmat Diakite musim depan?

Seorang pemain yang dilihat mampu memperkukuhkan lagi pasukan ialah tonggak skuad Sang Penyu, Pape Diakite walaupun baru sahaja menyertai mereka awal musim lalu.

Selain bijak menggunakan ketinggiannya dalam menyekat hantaran lawan, dia juga dilihat tenang meskipun terdapat percubaan pihak lawan untuk mencuri bola daripadanya.

Ketika ini, status kontraknya bersama Terengganu FC masih terawang-awang selepas pihak pengurusan dikatakan sedang melakukan perancangan mendalam dalam mengelak beban kewangan yang besar.

Keputusan itu dilihat bakal menyaksikan pemain kelahiran Senegal itu untuk berhijrah dan JDT mampu menjadi salah satu destinasi sesuai untuk meningkatkan kemampuannya.

Di samping itu, Diakite mempunyai pengalaman luas di peringkat Asia selepas dia pernah berkhidmat bersama dua pasukan Vietnam, Sai Gon dan Ho Chi Minh City. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram